PEMPENGARUH TikTok Soudi Al Nadak atau dikenali @soudiofarabia baru-baru ini menggemparkan media sosial apabila mendedahkan senarai syarat jika suaminya yang juga jutawan ahli perniagaan, Jamal Al Nadak, mahu dia hamil.
Portal MSN melaporkan, Soudi memuat naik permintaan mewahnya, termasuk bayaran 240,000 pound sterling (kira-kira RM1.4 juta) setiap kali hamil, hadiah berjenama dan layanan tetamu kenamaan (VIP), semasa dan selepas bersalin.
Menerusi video tular yang ditonton oleh lebih 2.3 juta individu dalam masa seminggu itu, Soudi berkata tiada rundingan berkaitan kehamilannya.
Antara tuntutan lain, dia menekankan keperluan untuk cincin perkahwinan, akses penuh kepada kad kredit suaminya untuk kecemasan, dan pelbagai hadiah mewah, termasuk beg tangan berjenama dan kereta baharu.
Alasannya membuat tuntutan itu kerana dia tidak mahu menyakitkan badan secara percuma.
“Saya tidak akan meletakkan badan saya melalui kesakitan sebanyak itu secara percuma,” katanya.
Bayaran yang dinyatakan membabitkan pelbagai perbelanjaan, daripada sesi terapi kepada fisioterapi, latihan peribadi, akupunktur, dan urutan untuk dirinya dan bayi.
Dia juga berkeras mahukan push present (hadiah kerana meraikan ibu yang melahirkan bayi), khususnya lebih banyak hartanah pelaburan dan beg Birkin.
Senarai itu diperluaskan kepada keinginan Soudi untuk tidak bekerja lagi, penambahan pembantu di rumah, lawatan daripada 1,000 kepada 2,000 individu selepas bersalin, dan juga pasukan solek dan rambut yang berdedikasi.
Rata-rata penonton meluahkan rasa terkejut dan ragu-ragu, malah ada yang mempersoalkan ‘keaslian’ gaya hidup Soudi.
Sementara itu, ada juga yang menyokong kemahuannya dengan menyatakan cabaran kehamilan dan melahirkan anak.
Ketika berdepan kritikan, Soudi menegaskan bahawa cinta mereka adalah ikhlas, dan dia terus menerima sokongan, terutamanya daripada wanita di Dubai yang menghargai kehidupannya yang mewah. -Agensi