TIGA pempengaruh media sosial yang merakam perbuatan mereka memberikan sisa makanan kepada seorang gelandangan kemudian ditularkan menerusi media sosial telah dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Mereka disoal siasat kerana menghasilkan kandungan yang dipercayai bersifat jelik melampau dan telah mencetuskan kemarahan serta kecaman meluas dalam kalangan warganet, selain menyentuh sensitiviti masyarakat majmuk di negara ini.
Menurut MCMC, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
“Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, Johor pada hari ini. Sebanyak tiga unit telefon bimbit dan tiga keping kad SIM telah disita bagi membantu siasatan,” kata kenyataan MCMC.
Sebelum ini MCMC telah mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan kandungan yang merendah atau menghina maruah individu kerana ia bukan sahaja tidak beretika malah mendorong kepada normalisasi budaya tidak berperikemanusiaan dalam masyarakat.
Sehubungan itu, MCMC kini telah memulakan siasatan berdasarkan aduan orang ramai berhubung penyebaran video yang memaparkan sekumpulan individu dipercayai pempengaruh memberi sisa makanan kepada seorang gelandangan.
“MCMC memandang serius tindakan menghasil dan menyebar kandungan mengeksploitasi golongan terpinggir semata-mata untuk hiburan murahan, menjana tontonan, dan menimbulkan keresahan orang ramai.
“MCMC menegaskan bahawa siasatan terhadap kandungan tersebut sedang dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah,” katanya.
Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang menggesa MCMC mengambil tindakan ke atas sekumpulan pempengaruh yang memberikan nasi beserta tulang ayam yang telah dimakan kepada seorang gelandangan.
Chun Kuang berkata, kandungan video itu bukan sahaja tidak sensitif, malah memperlekehkan maruah insan lain dan tidak wajar sama sekali menjadikan penderitaan golongan terpinggir sebagai bahan hiburan atas nama ‘kebajikan’.
Video yang tular itu turut dikecam oleh warganet kerana perbuatan tersebut jelas memperlekehkan golongan yang tidak bernasib baik.
MCMC berkata, pihaknya akan terus memperkukuh pelaksanaan inisiatif literasi digital melalui Kempen Internet Selamat (KIS), bagi membentuk masyarakat yang celik digital, beretika dan bertanggungjawab.
“Inisiatif ini turut menyemai budaya penciptaan kandungan yang berhemah, beretika dan beradab, selain meningkatkan kesedaran terhadap nilai-nilai murni dalam ekosistem digital negara,”katanya. – Edisi 9

