KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan pelantikan Datuk Seri Prof. Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman sebagai Naib Canselor Universiti Malaya (UM) yang baharu manakala Datuk Prof. Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin pula sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Shahrin, 54, berpengalaman luas dalam bidang akademik dan penyelidikan serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi serta pernah menjawat jawatan-jawatan penting sebelum ini.
Beliau berkata, antaranya ialah Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 2014 hingga 2019 serta Ahli Lembaga Pengarah di Governing Board of Islamic University of Technology (IUT), Bangladesh.
Manakala Noor Azuan, 55, pula kata beliau, merupakan seorang pakar biomekanik dan mantan Naib Canselor Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).
Beliau juga merupakan penerima Anugerah Akademik Negara (AAN) Ke-14 (Kategori Inovasi dan Pengkomersialan Produk).
Katanya, sewaktu berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Kejuruteraan UM, beliau telah menjulang fakulti tersebut menjadi antara sepuluh terbaik di dunia.
“Berbekalkan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki oleh kedua-dua tokoh ini, diharap agar mereka dapat memberikan perkhidmatan cemerlang dalam memacu universiti awam masing-masing ke tahap yang lebih unggul,” katanya menerusi Facebook beliau.
Sebelum itu, Mohamed Khaled menyerahkan watikah pelantikan sebagai Naib Canselor bagi kedua-duanya di pejabat beliau di Putarajaya, hari ini.
Untuk rekod, pelantikan kedua-dua mereka untuk tempoh tiga tahun bermula 6 November dan 2 November.
Noor Azuan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal) dari University of Bradford, United Kingdom (UK) sebelum melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Sains dan Doktor Falsafah dalam bidang Biokejuruteraan di University of Strathclyde, Glasgow, Scotland.
Manakala Shahrin pula berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dan Sarjana Sains dalam bidang Kejuruteraan dari Purdue University West Lafayette, Amerika Syarikat sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Pemprosesan Selari (Parallel Processing) di University of Sheffield, UK. – Edisi 9