27.8 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Tidak ambil SPM, Aedy harap tidak menjadi ikutan

Mesti Baca

PELAKON Aedy Ashraf, 30, mendedahkan dia terpaksa berhenti sekolah ketika di tingkatan empat dan tidak mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Meskipun sudah 13 tahun perkara itu berlalu, Aedy mengakui niatnya mendedahkan perkara itu sekarang kerana tidak mahu memberi kesan tidak baik kepada pengikut dan peminatnya.

“Jika dilihat pengikut saya di Instagram mahu pun X, rata-rata mereka adalah adik-adik yang masih muda.

“Saya tidak mahu apa yang berlaku kepada saya itu menjadi ikutan. Kalau saya ada peluang untuk sambung belajar pada ketika itu, saya akan lakukannya.

“Tetapi, saya tidak menyesal terpaksa berhenti belajar. Apa yang berlaku di dalam hidup saya sebelum ini sudah tertulis.

“Ketika itu saya perlu membantu menyara keluarga dan meskipun sukar untuk saya laluinya. Ia bukan satu proses yang mudah namun saya bersyukur kerana mendapat sokongan yang kuat dari ibu dan keluarga,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem War on Terror: KL Anarki (WOT: KLA), semalam.

Penama penuh Mohammad Addy Ashraf Rosmadi, itu berkata, apa juga tindakan yang diambilnya ketika itu, dia tetap menganggap pendidikan adalah aspek penting dalam kehidupan.

“Saya tidak pernah cakap belajar atau pendidikan tidak penting. Bagi saya, ia sangat penting untuk semua orang dan saya juga menekankan bahawa kerja keras itu adalah penting.

“Tapi, nasib saya tidak begitu baik kerana tidak dilahirkan dalam keluarga berada dan ia telah menjadi halangan untuk saya meneruskan pelajaran.

Advertisements

“Kepada anda di luar sana yang ada rezeki dan masa untuk sambung belajar, tolonglah lakukan kerana ia sangat penting,” katanya lagi.

Biarpun tidak berpeluang untuk menyambung pelajaran namun Aedy sentiasa berusaha untuk menambah ilmu dan pengetahuan demi kemajuan dirinya.

“Saya baca banyak buku, saya ambil kelas online. Saya suka lakonan dan pembikinan filem, jadi saya banyak beli buku-buku yang berkaitan untuk saya belajar.

“Bagi saya, belajar adalah suatu proses yang tidak akan pernah selesai selagi ada peluang dan waktu gunakanlah sebaiknya,” katanya.

Aedy berkata, dia pernah memohon daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menyambung pengajian dalam pembikinan filem di New York Filem Academy di Los Angeles.

“Bukan rezeki saya tambahan pula ketika itu negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudian tertangguh.

“Saya cuba inisiatif lain dengan mengambil beberapa masterclass secara online,” katanya lagi.

Terdahulu, Aedy sebelum ini mendedahkan dia tidak mempunyai SPM dan terpaksa berhenti belajar sewaktu berada di tingkatan empat demi menyara keluarganya yang dalam kesusahan ketika itu.

Dia berkongsi mengenai perkara itu ketika menjayakan program Studio Sembang yang dikendalikan pelakon Amelia Henderson di YouTube. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan