26.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

Shuib janji bayar tunggakan caruman KWSP secara berperingkat

Mesti Baca

PELAWAK dan usahawan, Shuib mengakui berlaku masalah tunggakan membayar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pekerja seperti yang tular baru-baru ini.

Shuib berkata, masalah itu berpunca daripada pengurusan lama syarikat minuman yang diusahakannya, Bubble Bee.

“2023 bukanlah tahun yang baik untuk industri makanan dan minuman (F&B). Saya mengaku jualan kami merudum hingga tidak dapat mencarum KWSP bagi pekerja.

“Apabila surat layang dikeluarkan, ia kelihatan seolah-olah kami langsung tidak ambil tahu soal caruman KWSP pekerja.

“Saya hendak beritahu sebenarnya, dari awal tahun ini, kami sudah berhubung dengan KWSP dan memaklumkan kepada pegawai badan itu mengenai situasi yang berlaku.

“Kami tahu ada tunggakan sebanyak ini di mana kami tidak boleh bayar sekaligus,” katanya.

Shuib mengulas kenyataan berkenaan tunggakan caruman KWSP pekerja Bubble Bee melalui video yang dimuat naik di laman sosialnya, kelmarin.

Shuib menjelaskan, dia dan rakan kongsi mengambil alih pengurusan syarikat, November tahun lalu dan sedang menyelesaikan masalah yang ditimbulkan pihak terdahulu.

Katanya, hasil rundingan bersama KWSP, syarikat dibenar melunaskan bayaran tunggakan caruman secara ansuran.

Advertisements

“Kami akan bayar kerana itu kewajipan sebagai majikan. Alhamdulillah, kami ada buat pembayaran, banyak juga yang sudah dijelaskan.

“Cuma, kami masih menunggu keputusan mengenai berapa kali bayaran ansuran yang dibenarkan,” katanya.

Shuib juga memohon maaf kepada kakitangan termasuk mereka yang sudah berhenti bekerja dan berjanji menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Saya ingin beri pujian kepada pekerja yang masih setia dan faham atas apa yang berlaku kepada syarikat sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Shuib berkata, sejak lebih tiga tahun mengusahakan syarikat minuman itu, pihaknya tidak pernah memotong gaji pekerja.

“Walaupun kami lalui saat genting akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat tidak pernah potong gaji pekerja. Kami juga tidak pernah lari daripada bayar gaji sampai hari ini,” katanya.

Terdahulu, tular di aplikasi TikTok paparan surat terbuka daripada seorang individu mendakwa syarikat diasaskan Shuib gagal membayar caruman KWSP kepada pekerja.

Antara lain surat terbuka itu mendakwa Syarikat Bubble Bee membuat tolakan caruman KWSP kepada pekerja setiap bulan, namun, tiada transaksi dikatakan berlaku dalam akaun pekerja. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan