TINDAKAN sindiket menjadikan sebuah premis percutian di Pulau Pangkor sebagai pusat panggilan bagi mempromosi pelaburan tidak wujud dalam talian, terbongkar apabila diserbu polis pada 31 Oktober lalu.
Hasil serbuan ke atas premis terbabit, seramai 96 warga asing dan seorang lelaki tempatan yang berusia antara 20 hingga 47 tahun ditahan.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, dalam serbuan terbabit, polis turut merampas tiga komputer riba, 120 telefon bimbit, dua modem dan dua buku nota yang dipercayai digunakan untuk aktiviti tersebut serta wang tunai RM51,254.
Hasil pemeriksaan mendapati, premis berkenaan dihuni 65 lelaki dan 29 wanita Vietnam, seorang lelaki dan perempuan warga China serta lelaki tempatan.
“Kesemua suspek ditahan kerana disyaki bekerja atau terlibat menjalankan sindiket penipuan pelaburan tidak wujud dalam talian,”katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, premis itu baru didaftar masuk pada hari serbuan dilakukan dan pemeriksaan mendapati kesemua warga asing tersebut ada yang mempunyai pasport sah, manakala sebahagiannya masuk secara haram.
“Lelaki tempatan yang ditangkap berusia 24 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan serta bebas daripada rekod jenayah lampau,”katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – Edisi 9

