Monday, July 20, 2026

PM perlu nilai semula Ahli Parlimen PN beri sokongan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMUDA UMNO memohon Datuk Seri Anwar Ibrahim menilai semula trend Ahli Parlimen dari Perikatan Nasional (PN) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan beliau selaku Perdana Menteri.

Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, ini bagi memastikan agenda reformasi Parlimen dapat dilaksanakan dengan baik dan mencapai tujuan sebenar.

“Cukup-cukuplah dengan drama politik sebelum ini, rakyat sudah penat dan muak dengan drama politik tersebut!

“Kini adalah masa untuk fokus membantu rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata Akta Anti Lompat Parti yang terpakai ketika ini bertujuan untuk menghalang ‘katak-katak politik’ untuk melompat sesuka hati sekali gus tiada lagi drama politik berpanjangan.

Katanya, ia juga membolehkan wakil rakyat yang dipilih terus fokus untuk berkhidmat bagi rakyat yang memilih mereka dan parti yang diwakili.

“Tetapi rupa-rupanya walaupun akta anti lompat parti telah diluluskan, katak-katak ini tetap melompat menggunakan nama lain iaitu menyokong kerajaan tanpa keluar parti.

“Jadi nama yang digunakan walaupun berbeza tetap sama tujuannya untuk katak-katak ini melompat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengulas sokongan terbaharu Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Aziz Abu Naim daripada Perikatan Nasional (PN) kepada Perdana Menteri.

Mohd Aziz secara rasmi mengisytihar sokongan penuh kepada kepimpinan Anwar berkuat kuasa semalam.

Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Kangsar dan Labuan dari PN turut mengambil keputusan sama.- Edisi 9

Terkini

AMH desak menteri, timbalan menteri BN letak jawatan

SEMUA menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) didesak meletakkan jawatan masing-masing susulan tindakan parti itu yang secara...

Lagi Artikel Berkaitan