32.3 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 15, 2024

Ahli Parlimen Jeli juga ‘beralih arah’, sokong PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TIDAK sampai 24 jam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima sokongan seorang lagi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dari Kelantan.

Ini susulan tindakan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang mengumumkan sokongan beliau kepada Anwar mengikuti jejak Ahli Parlimen Gua Musang, Datuk Mohd Azizi Abu Naim semalam.

Dalam kenyataan media, Zahari berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan pertimbangan tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat terkini mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan di dalam kawasan Parlimennya.

“Meneliti, memperhalusi dan mempertimbangkan dengan sehabis baik tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat terkini mengenai kos sara hidup, himpitan mengenai keperluan asas yang perlu dipertingkatkan dan pembangunan yang mesti diteruskan di dalam Kawasan Parlimen P.030 Jeli, maka saya sebagai Ahli Parlimen Jeli dengan ini mengisytiharkan sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri Malaysia ke-10 bermula dari tarikh kenyataan ini dikeluarkan,” kata beliau dalam kenyataan tersebut.

Zahari berkata, beliau menyedari bahawa rakyat mesti diutamakan dan pembangunan perlud diteruskan tanpa sebarang kompromi dan dalam alaf yang serba mencabar ini selaku Ahli Parlimen beliau harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli.

Advertisements

“Namun demikian, saya akan taat, setia dan kekal sebagai Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan saya bersedia berdepan dan menerima risiko dari tindakan disiplin parti demi mempastikan pengundi-pengundi dan rakyat dalam Parlimen Jeli tidak menjadi mangsa keadaan dan tidak ketinggalan menerima semua bentuk pembangunan dan bantuan dari Kerajaan Pusat.

“Maka dengan ini saya juga mengisytiharkan untuk menyokong sebarang dasar-dasar dan inisiatif yang kerajaan lakukan di dalam memulihkan ekonomi negara serta meletakkan kebajikan dan kepentingan rakyat. Sokongan saya ini berterusan sehingga Pihanraya Umum (PRU) yang seterusnya,”kata Zahari.

Beliau juga menegaskan bahawa pengisytiharan sokongan kepada Perdana Menteri itu dibuat tanpa apa-apa paksaan, pengaruh dan tekanan dari mana-mana pihak dan dibuat atas kerelaannya sendiri demi rakyat di parlimen itu.

Zahari merupakan Ahli Parlimen keempat daripada Bersatu yang menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri selepas Kuala Kangsar, Labuan dan Gua Musang. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelajar POLISAS sertai program mobiliti antarabangsa di Jakarta

SERAMAI 12 pelajar Jabatan Kejuruteraan Elektrik (JKE), Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) berpeluang menimba ilmu dan pengalaman menarik...

Lagi Artikel Berkaitan