26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Penerima Sulung 2.0 USIM diingat kekalkan prestasi akademik

Mesti Baca

Editor Edisi 9
Editor Edisi 9
Editor Edisi 9

PARA penerima Program Pembangunan Siswa Sulung 2.0 (Sulung 2.0) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diingatkan agar mengekalkan pencapaian akademik masing-masing bagi mengelak kemudahan itu ditarik balik.

Penolong Pendaftar Kanan Pusat Pengurusan Akademik USIM, Mazlina Mohamed Tamjid, pihak universiti berhak menarik balik pemberian Sulung 2.0 sekiranya mereka gagal mengekalkan Purata Gred Semester Keseluruhan (PNGK) sekurang-kurangnya 3.0 sepanjang tempoh pengajian.

“Sebaiknya gunalah peluang yang diperolehi ini dengan memastikan nilai PNGK sentiasa berada dalam keadaan cemerlang dan menjaga tatatertib akademik agar penerima tidak hilang kelayakan untuk terus mendapat manfaat daripada program ini.

“Pihak universiti berhak menarik kembali kelayakan dengan serta-merta sekiranya mendapati penerima mengalami kemerosotan dalam pembelajaran dan tidak mencapai PNGK yang ditetapkan serta tidak mengamalkan peraturan pengajian di universiti,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi taklimat Sulung 2.0 di Dewan Kuliah Fakulti Syariah Undang-undang USIM di Nilai, Negeri Sembilan. Hadir sama Penolong Pendaftar Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM, Khairunnisa Ismail.

Seramai 231 pelajar USIM layak menerima Sulung 2.0 tersebut menghadiri taklimat tersebut.

Advertisements

Sulung 2.0 merupakan kesinambungan program Sulung fasa pertama telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) ketika itu, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Oktober 2022.

Sementara itu, Khairunnisa berkata, Program Sulung merupakan inisiatif KPT untuk membantu pelajar keluarga B40 selaku individu pertama dalam keluarga untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Katanya, para penerima Sulung akan memperolehi beberapa manfaat antaranya pengecualian yuran pendaftaran, yuran pengajian, serta yuran perkhidmatan sepanjang tempoh pengajian.

“Para penerima Sulung 2.0 juga akan memperoleh manfaat daripada segi pembangunan insaniah, sokongan akademik dan kaunseling,” katanya.

Sulung 2.0 ditawarkan kepada pelajar yang mendaftar dan sedang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti.

Selain itu, pelajar baharu lepasan STPM, Asasi, Matrikulasi yang memperolehi PNGK sekurang-kurangnya 3.0 ke atas serta sekurang-kurangnya pangkat jayyid jiddan dalam STAM turut layak menerima tawaran tersebut. – Nurul Syeikhah Zaki (Pelajar USIM) / Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan