26.4 C
Kuala Lumpur
Monday, May 6, 2024

MyCC beri amaran, pantau ketat persaingan pasaran ayam

Mesti Baca

SURUHANJAYA Persaingan Malaysia (MyCC) memberi amaran dan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang mengambil kesempatan terhadap proses persaingan pasaran ayam yang ditamatkan subsidi berkuatkuasa semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyCC, Iskandar Ismail, berkata pemantauan akan dipergiatkan atas aktiviti pasaran ayam bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap sebarang gangguan dalam proses persaingan di pasaran, terutama membabitkan aktiviti kartel.

Ia susulan langkah kerajaan yang menghapuskan subsidi dan kawalan harga ke atas ayam berkuat kuasa semalam.

Katanya, dalam tempoh peralihan berikutan langkah kerajaan itu, harga ayam akan berubah daripada harga siling RM9.40 bagi setiap kilogram (kg) kepada harga yang akan ditentukan keadaan semasa pasaran.

Beliau berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya setakat ini, persaingan dalam pasaran ayam dilihat menunjukkan tanda positif dan bekalan produk itu tidak mengalami sebarang gangguan.

Harga ayam bagi tempoh dua hari pertama tempoh peralihan ini dijual dalam lingkungan RM6.49 hingga RM11.00 bagi setiap kg dan MyCC juga tidak menerima sebarang aduan daripada mana-mana pihak sehingga hari ini.

“Walaupun terdapat persaingan dalam pasaran, kami akan terus memantau pasaran secara dekat bagi mengesan sebarang tanda kewujudan pelakuan antipersaingan.

“Pemansuhan subsidi dan penghapusan harga kawalan bagi ayam tidak boleh diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.

Advertisements

“Sama seperti penyiasatan yang dilaksanakan MyCC pada tahun lalu terhadap syarikat pengeluar makanan ayam, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika terdapat sebarang tanda yang menunjukkan terdapat gangguan terhadap proses persaingan oleh mana-mana pemain industri dari mana-mana peringkat rantaian bekalan sekali pun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, mengumumkan kerajaan menamatkan sepenuhnya pemberian subsidi dan harga kawalan bagi ayam bermula 1 November serta melanjutkan pemberian subsidi dan harga kawalan telur gred A, B dan C mengikut mekanisme sedia ada.

Beliau berkata, langkah penamatan subsidi secara pukal itu bertujuan mengurangkan ketirisan subsidi yang ketika ini turut dinikmati warga asing dan berpendapatan tinggi.

Selain penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan dan meningkatkan pelbagai inisiatif sosial ekonomi serta kebajikan rakyat, termasuk bantuan tunai.

Iskandar berkata, MyCC sedang bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), yang akan memberi akses kepada data penting bagi mengesan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan.

“MyCC sedar ayam adalah salah satu sumber protein utama untuk pengguna Malaysia. Kami kekal komited dalam memastikan persaingan yang sihat dalam pasaran ayam untuk kebaikan pengguna.

“MyCC mengalu-alukan sebarang aduan atau perkongsian maklumat berkaitan dengan isu yang relevan baik daripada pengguna mahu pun peniaga,” katanya.

Katanya, sebarang aduan dan maklumat boleh dikongsikan melalui laman sesawang web www.mycc.gov.my atau sebarang cara yang dirasakan sesuai. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Selepas kopi, Richiamo kembang sayap dalam bidang peruncitan

SELEPAS berjaya membina jenama dalam perniagaan kopi, Kumpulan Richiamo melebarkan sayap perniagaan dalam peruncitan dengan membuka rangkaian kedai runcit,...

Lagi Artikel Berkaitan