MOVON Sdn Bhd, syarikat yang terkenal dan berkembang pesat dalam industri sewaan produk bayi Malaysia menyasarkan bakal mencapai pertumbuhan yang ketara dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Movon, Mak Wai Hoong, berkata syarikat itu memiliki rancangan perniagaan lima tahun yang memerlukan pembukaan sehingga 100 kedai dan galeri untuk produk bayi di pusat membeli-belah di seluruh Malaysia.
Katanya, Movon berjaya mengumpul RM20 juta melalui pendanaan awam, menarik ramai peserta menyokong pengembangan komersialnya.
“Pencapaian luar biasa Movon untuk mengumpul RM20 juta melalui pendanaan awam berfungsi sebagai bukti kukuh kejayaan syarikat dan potensi yang tidak dapat dinafikan.
“Ini menunjukkan betapa yakinnya pasaran terhadap kami. Pelabur melihat potensi pasaran dan pengalaman kami, dan mereka percaya pada pasukan serta konsep kreatif Movon,” katanya dalam satu kenyataan.
Wai Hoong berkata, kempen pendanaan awam kedua itu adalah untuk menyokong kos pemasaran, pengembangan cawangan, pelancaran produk bayi baharu dan pertumbuhan jenama itu di Malaysia.
“Kami menyasarkan untuk mempunyai sehingga 100 cawangan Movon dalam tempoh lima tahun akan datang. Kami memerlukan lokasi sebenar bagi memberi peluang kepada pelanggan untuk menyentuh dan merasai produk kami.
“Kami sudah beroperasi di tiga kedai iaitu satu di Kota Kinabalu, Sabah; Pavilion Bukit Jalil dan Melaka. Kami mendapati reaksi pelanggan adalah sangat baik,” katanya.
Beliau berkata, matlamat pendanaan awam adalah untuk memberi pelabur akses awal kepada keuntungan dan memudahkan pertumbuhan modal untuk kumpulan pelabur awal.
“Kempen pendanaan awam ini juga berhasrat untuk mempercepatkan proses penyenaraian syarikat kami, memandangkan ia merancang untuk didedahkan kepada umum pada 2026,” katanya.
Ketika ini, terdapat dua kategori produk yang ditawarkan oleh Movon iaitu tempat duduk kereta dan kereta sorong bayi. – Edisi 9

