PEMPENGARUH media sosial, Alif Teega mengejutkan ramai warganet apabila mendedahkan dia sudah berkahwin dua pada 18 November lalu.
Alif berkata, tujuan dia berkongsi status terkini dirinya itu kerana enggan menimbulkan sebarang fitnah dan menjawab segala khabar angin yang bertebaran.
“Mungkin selama ini ada yang terdengar atau memang tahu berita mengenai saya sudah bernikah. Baik Alhamdulillah berita itu adalah benar. Saya sudah pun bernikah.
“Saya harap tidak dipanjangkan lagi isu ni. Terima kasih kepada isteri (pertama) saya, Aisyah Hijanah kerana bersabar dengan apa yang berlaku serta tabah dan kuat berada di sisi menemani saya walaupun saya tahu perit bagi mana-mana wanita untuk menerima hakikat ini,” katanya dalam satu hantaran yang dimuat naik di Instagram.
Alif berkata, dia mengaku berita perkahwinan keduanya itu bukan satu hal yang mudah buat isteri pertamanya, namun memohon orang ramai mendoakan hubungan mereka berkekalan.
“Selama Aisyah menjadi isteri saya, tiada sebarang kekurangan. Doa saya agar Allah hanya kekalkan kami sehingga ke syurga. Tapi percaturan Allah buat saya dan Aisyah adalah berbeza.
“Terima kasih atas doa daripada kalian semua buat kami. Aisyah adalah wanita pilihan Allah dan Subhanallah kuatnya dia luar biasa dan saya juga takjub dengan kekuatannya dalam hadapi setiap ujian yang datang.
“Saya tak rasa wanita lain sanggup berada di tempat dia. Saya mohon agar tiada mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi dan hinaan mengenai hal ini dan biarlah segala yang berlaku di akhiri di sini saja,” katanya.
Biarpun sudah mengesahkan mengenai perkahwinan keduanya, namun butiran mengenai identiti isteri keduanya itu masih menimbulkan tanda tanya.
Dalam pada itu, Aisyah juga turut mendoakan kebahagiaan Alif bersama madunya dan berharap orang ramai tidak bercakap buruk mengenai perkahwinan mereka.
“Doakan yang baik-baik buat kami berdua. Saya mohon agar tidak berkata yang buruk kepada Alif mahupun isteri barunya,” tulisnya.
Alif dan Aisyah mendirikan rumah tangga pada 2017 dan mereka dikurniakan dua orang cahaya mata.
Aisyah juga kini dikhabarkan sedang hamil lima bulan anak ketiga mereka.
Oktober lalu, Aisyah mendedahkan perkahwinan mereka cuba dihimpit pihak ketiga yang juga pekerjanya sendiri.
Aisyah turut memaklumkan dia membawa Alif berubat selepas dipercayai terkena penyakit ain selain gangguan sihir pemisah. -Edisi 9