34.5 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Kumpulan nasyid Aeydan enggan dibayangi Rabbani

Mesti Baca

MENYEDARI mereka dilahirkan sebagai anak-anak Rabbani, ramai beranggapan kumpulan nasyid Aeydan bakal menyambung legasi kumpulan itu.

Namun begitu, ia membuatkan kumpulan yang dianggotai oleh enam anak muda ini kurang selesa apabila ada yang melemparkan persepsi negatif dan mengganggap mereka menumpang populariti Rabbani.

Mewakili teman-teman, Mohd Izwan Izzudin berkata, mereka sudah lali dengan situasi itu apatah lagi dikaitkan hanya sekadar menumpang nama Rabbani.

Baginya, sebagai anak-anak Rabbani perkara itu memang tidak dapat dielakkan apatah lagi sejak kecil masing-masing sudah terbiasa mendengar lagu-lagu yang dibawakan oleh Rabbani.

“Kami akur apabila dikatakan bakal pengganti Rabbani, meniru muzik kumpulan ini atau apa sahaja. Kerana kami memang tidak dapat lari disebabkan masing-masing memang membesar dengan lagu dan kehidupan Rabbani itu sendiri.

“Kami dilahirkan oleh Rabbani sendiri, kami semua adalah anak-anak anggota Rabbani,” katanya.

Apabila tampil dengan single pertama berjudul Bintang, kumpulan ini akur untuk mendengar apa juga kritikan yang diberikan.

“Kami memang tidak dapat lari daripada konsep Rabbani itu sendiri namun sebagai pendatang baru kami cuba membawakan konsep lagu sesuai dengan muzik sekarang.

“Namun begitu elemen nasyid masih diterapkan disamping kami mengetengahkan sedikit konsep k-pop,” katanya.

Anak kepada Azadan Abdul Aziz itu berkata, muzik video Bintang yang dilancarkan sebulan lalu itu mendapat sentuhan kreatif dan terbitan bersama Daqmie serta Wan Saleh.

 “Kami cuba tampilkan kelainan dengan mencampurkan muzik nasyid dan k-pop dan lagu itu juga diiringi tarian.

Advertisements

“Kami bersedia sekiranya lagu dan muzik video ini mendapat kritikan.

“Kami cuba lari sedikit dengan mengkomersilkan muzik nasyid yang dibawa dan ia sudah kami praktikkan sejak zaman sekolah lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis graduasi Kem Mutawwif Integrasi Haramain (KMIH) yang diadakan di sebuah hotel di Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Selain Mohd Izwan Aeydan turut dianggotai oleh anak keempat Allahyarham Asri Ibrahim, Muhammad Ilham Fikri selaku vokalis utama; Muhammad Farhan Islah dam Mohammad Fardeen Imran (anak Rithauddin), Muhammad Arif Haikal (anak Rahmat), dan Muhammad Alif Ihsan (anak Nazrul).

Untuk rekod, Aeydan yang tampil dengan genre world music dan lagu-lagu kerohanian berharmoni pada asalnya digelar Rabbani Junior.

Pemergian Asri pada 2009 mencetuskan idea untuk mencari pelapis Rabbani.

Selepas tamat pengajian, mereka kembali aktif dan merancang untuk dikenali sebagai Aeydan.

Dalam perkembangan lain, Mohd Izwan berkata, Aeydan bakal muncul dalam Konsert Simfoni Kesyukuran 2.0 di Zepp Kuala Lumpur pada 2 Disember ini.

Katanya, konsert anjuran Rabbani Empire Resources dengan kerjasama Intermedia Production itu adalah persembahan ketiga Aedan di depan khalayak setakat ini.

“Kami akan mengadakan persembahan pada konsert itu yang juga sebagai tanda solidariti bersama Palestin.

“Selain Aeydan, turut menjayakan konsert itu adalah Mawi, Zizi Kirana, Rabbani dan Adib Nahar,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bekas kakitangan Utusan dapat persetujuan Mahkamah Persekutuan

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan