Sunday, June 14, 2026

Hamid Mohd Amin Ketua Pengarah Maritim Malaysia baharu

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

LAKSAMANA Maritim Datuk Hamid Mohd Amin telah dilantik sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia yang ke enam berkuatkuasa hari ini.

Pelantikan Hamid itu yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) itu, bagi menggantikan Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som yang telah bersara wajib pada Mac lalu.

Upacara kenaikan pangkat dan pelantikan itu disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di sini, hari ini.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Hamid dilahirkan di Selangor pada 19 April 1964 dan telah berkhidmat dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selama 23 tahun sebelum diserapkan ke Maritim Malaysia sebagai pegawai perintis agensi ini pada 31 Oktober 2005.

“Memiliki pengalaman luas dalam pelaksanaan operasi maritim di perairan negara, termasuk Selat Melaka dan Sabah serta Sarawak dalam menjaga keselamatan negara daripada pelbagai ancaman khasnya jenayah rentas sempadan.

“Hamid pernah memegang pelbagai jawatan termasuk dilantik sebagai Ketua Staff Bahagian Penguatkuasaan Maritim di Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) pada tahun 2019.

“Beliau turut diberikan tanggungjawab menjadi Pengarah di Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim Ibu Pejabat Maritim Malaysia pada tahun 2021, seterusnya pada bulan Mac yang lalu, beliau telah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Maritim Malaysia berkata, berlandaskan perancang strategik dan aturgerak aset yang bijak, beliau telah mencapai banyak kejayaan melalui penahanan dan pendakwaan kes berprofil tinggi seperti penyeludupan dan pemerdagangan manusia, minyak, kontraban dan barangan kawalan yang melanggar undang-undang negara.

“Malah beliau juga terlibat dalam pelbagai inisiatif untuk memperkuatkan hubungan kerjasama antara Maritim Malaysia dengan nelayan serta komuniti maritim dalam usaha mempertingkatkan keselamatan maritim negara.

“Atas sumbangan dan jasa dalam perkhidmatan maritim, beliau telah menerima banyak pengiktirafan seperti Darjah Kebesaran Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan Ahli Mangku Negara (AMN) serta Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk pada Ogos yang lalu.

“Kini dengan peranan baharu sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia, beliau diyakini akan meningkatkan keupayaan aset dan kompetensi warga Maritim Malaysia melalui aspek penguatkuasaan dan carilamat di samping memperkukuhkan kerjasama strategik dengan agensi-agensi tempatan dan luar negara,”kata kenyataan itu. – Edisi 9

Terkini

Pemimpin korporat perlu kuasai AI, elak ketinggalan

PEMIMPIN korporat di Malaysia perlu segera menguasai dan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) dalam operasi harian organisasi bagi memastikan mereka...

Lagi Artikel Berkaitan