26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Graduan bersifat global tingkat imej IPT negara

Mesti Baca

INSTITUSI pendidikan tinggi (IPT) tempatan disaran melahirkan graduan bersifat global yang secara tidak langsung mampu meningkatkan imej serta kualiti pendidikan tinggi negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, IPT perlu memastikan graduan tempatan mempunyai ciri-ciri yang berupaya menembusi pasaran kerja antarabangsa.

Katanya, pihak IPT perlu memikirkan strategi bagi melahirkan graduan yang menjadi dambaan majikan dalam usaha meningkatkan peratusan graduan memperoleh ‘gaji premium’ seperti yang dihasratkan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang disampaikan dalam ucapannya bersempena Persidangan Pasaran Kerja Graduan 2023.

“Dalam usaha ini, graduan perlu mempunyai ‘pakej’ tertentu supaya diterima majikan sama ada dari syarikat multinasional di Malaysia mahupun yang berpangkalan di luar negara.

“Antara kriteria itu termasuk mempunyai daya pemikiran kritis, berkarakter global, sifat kepemimpinan tinggi, boleh bekerja dalam satu pasukan serta nilai tambah dalam aspek kemahiran insaniah,” katanya.

Advertisements

Mohammad Shatar berkata, penguasaan bahasa asing dan kompetensi silang budaya menjadi elemen penting dalam melahirkan graduan global kerana kemahiran itu sangat diperlukan lebih-lebih lagi apabila graduan ingin bekerja di luar negara.

Katanya, perkara itu signifikan kerana boleh dijadikan sebagai indikator dalam usaha mempromosikan institusi masing-masing di persada nasional dan antarabangsa.

“Bayangkan sekiranya IPT tempatan mempunyai definisi kualiti sedemikian tanpa meletakkan agenda penarafan universiti sebagai fokus paling utama, sebaliknya memberi tumpuan kepada kualiti graduan dikeluarkan, selain hasil penyelidikan yang memberi impak kepada masyarakat dan negara.

“Pastinya dunia akan datang ke Malaysia untuk merujuk kita sebagai negara yang melahirkan graduan berkualiti seterusnya memberi impak kepada nama baik IPT tempatan.

“Jika persepsi ini dapat ini diubah pastinya akan membantu merealisasikan agenda Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bakat dan pengetahuan atau pusat ilmu sejagat,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan