25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Ernie Zakri memancarkan Aura menerusi ‘Masing-Masing’

Mesti Baca

LAMA menanti, kini adalah masa yang tepat menghadiahkan buah tangan terbaharunya buat peminat tersayang.

Tampil dengan album penuh kedua berjudul Aura, ia adalah hadiah terindah Ernie Zakri kepada peminat yang selama ini terus setia dan menyokong dirinya.

Selepas mengumumkan perpindahannya ke syarikat rakaman antarabangsa Universal Music Malaysia tidak lama dahulu, ini adalah album penuh yang pernah dijanjikan oleh Ernie sebelum ini.

Aura adalah sebuah album yang membawa pesan tentang peneguhan diri dan sikap positif. Ia diolah khas oleh Ernie sendiri untuk memberi keyakinan kepada mereka yang rasa terluka dalam menghadapi kehidupan harian.

Album ini mengajak pendengar untuk menghayati aura yang ada pada diri sendiri, sambil mengingatkan bahawa setiap yang berlaku dalam hidup ini adalah takdir yang sudah tersusun dan bertujuan memberikan kesedaran untuk menerima segala kekurangan tanpa rasa takut.

Ernie berkata, mukadimah tentang mahakarya terbaharunya ini, sangat istimewa kerana ia menceritakan tentang sumber kekuatan seseorang.

Semua lagu dalam album ini berkisahkan nasihat, motivasi dan sumber kekuatan untuk insan yang memerlukan semangat.

Sebagai pembuka cerita kepada album ini, lagu berjudul Masing-Masing diberi penghormatan menjadi single pertama untuk memperkenalkan Aura.

Masing-Masing adalah sebuah lagu galau yang bertemakan putus cinta. Digubah dan ditulis oleh Ade dari kumpulan Govinda bersama Nabila V, ia mempunyai jalan cerita tersendiri.

“Saya dan Mas Ade sependapat untuk menghasilkan lagu galau dengan kisah putus cinta yang sedikit berbeza.

“Masing-Masing mengisahkan pasangan yang terpaksa meneruskan kehidupan mereka dengan cara berpisah demi mencari kebahagiaan diri sendiri.

“Tidak semua perpisahan tentang pertengkaran atau pergaduhan. Ada perpisahan yang berlaku atas persetujuan kedua-dua pihak demi mencapai kebahagiaan sendiri.

“Saya tahu ramai rakyat Malaysia yang suka lagu galau seperti ini,” kata Ernie.

Advertisements

Masing-Masing menjalani proses rakaman di Yogyakarta, Indonesia dengan begitu mudah.

Ernie mengakui tidak terasa seperti bekerja malah seolah-olah sedang bercuti kerana semuanya lancar dan senang.

“Kami hanya mengambil masa sehari untuk rakaman. Buat video muzik pula kami hanya perlukan setengah hari sahaja untuk penggambaran.

“Video muzik yang berkonsep penuh kesenian itu menampilkan dua orang penari yang menyampaikan jalan cerita secara simbolik lewat setiap pergerakan yang ditampilkan dalam bentuk seni tari,” katanya.

Ernie berkata, setiap gerak tari ada maknanya. Sebagai contoh, ada babak mereka jatuh, itu ada maksud simbolik yang tersirat tentang mesej yang disampaikan dalam lagu itu.

Album Aura membabitkan ramai komposer dan penerbit mengambil masa sekitar setahun kerana Ernie mempunyai beberapa permintaan khas.

“Saya yang meminta sendiri lagu daripada penulis serta pencipta yang terbabit dalam album ini.

“Proses rakaman kesemua lagu juga memakan waktu sekitar tiga hingga empat bulan untuk disiapkan. Saya harap pendengar akan dapat memahami apa yang saya cuba sampaikan di dalam album ini.

“Semoga ia menjadi teman buat mereka yang memerlukan semangat serta kekuatan itu,” kata Ernie lagi.

Aura menampilkan 10 buah lagu dengan pembabitan nama-nama besar industri muzik serantau seperti Aubrey Suwito, Ezra Kong, Faizal Tahir, Amylea Azizan, Rozi Sangdewi, Helen Yap, Firdaus Rahmat, John Jeeves, Ade Govinda dan beberapa orang lagi.

Ia turut menampilkan suami Ernie sendiri, Syamel yang menyumbangkan lagu Jangan Hilang Percaya.

Aura sudah pun berada di semua platform digital sejak 3 November lalu dan video muzik lagu Masing-Masing juga berada di laman YouTube pada hari yang sama. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan