25.5 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

74 pelajar pergigian UiTM dekati masyarakat di Masjid Tanah

Mesti Baca

SERAMAI 74 orang pelajar tahun empat, Sarjana Muda Pembedahan Pergigian Fakulti Pergigian, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sungai Buloh, Selangor, mengadakan aktiviti khidmat masyarakat, baru-baru ini.

Bertempat di Masjid Tanah, Melaka, aktiviti ini adalah sebahagian daripada program ‘Karnival Dental Sure Havoc 2.0’ anjuran Pusat Pengajian Sains Praklinikal Fakulti Pergigian UiTM dengan kerjasama Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM.

Pengarah program, Ahmad Arham Hakimi Azhar berkata, karnival kali kedua ini diadakan bagi tujuan memupuk semangat keusahawanan dan kesukarelawan di kalangan pelajar pergigian UiTM.

“Pada edisi kali ini, kami telah menjalankan aktiviti penjualan barangan terpakai sebagai elemen keusahawanan, dan memilih komuniti di Masjid Tanah, Melaka sebagai lokasi khidmat masyarakat untuk elemen kesukarelawanan,” katanya.

Ahmad Arham berkata, aktiviti khidmat masyarakat selama sehari di Pantai Tanjung Bidara, Melaka telah dimulakan dengan aktiviti berkumpulan bersama anak-anak dari Pasti Luqman Al Hakim, dan diakhiri dengan aktiviti di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu.

“Bersama anak-anak Pasti, kami telah melakukan aktiviti berasaskan STEM, di mana kami berkongsi mengenai kepentingan memelihara alam sekitar melalui usaha konservasi penyu.

“Kami juga menjalankan permainan rakyat di persisiran pantai bersama mereka.

Advertisements

“Selain itu, kami turut meluangkan masa di Pusat Konservasi Penyu dengan membersihkan kolam dan mengecat mural bagi memperindah kawasan sekeliling,” katanya lagi.

Apa yang menarik, peserta program turut berpeluang melepaskan lebih seratus ekor anak-anak penyu yang baru menetas di kawasan jeti Pantai Tanjung Bidara.

Sementara itu, kakitangan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Masjid Tanah, Muhammad Hanis Rosli berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pelajar-pelajar yang sudi datang bersukarelawan di sini.

“Saya pasti usaha yang kecil ini amat besar maknanya kepada kami yang berusaha membina semula populasi penyu di perairan negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Arham berkata, pihaknya yakin program ini telah mencapai objektifnya, dan berjaya memulakan hubungan yang baik bersama masyarakat setempat.

“Melihat kepada riak wajah rakan-rakan peserta ketika melakukan kesemua aktiviti yang dirancang di Masjid Tanah ini sudah cukup membuktikan yang kami berjaya membawa impak yang positif kepada masyarakat.

“Saya doakan program sebegini dapat membina sifat kepimpinan pelajar, dan seterusnya menjadi pencetus kepada pembinaan komuniti setempat yang cakna mengenai tanggungjawab memelihara alam sekitar,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akhyar Rashid disamun, cedera di kepala akibat dipukul

PEMAIN bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid cedera di kepala dan kaki selepas menjadi mangsa samun di Kuala Terengganu sekitar...

Lagi Artikel Berkaitan