KONTROVERSI yang melanda tidak sedikitpun menggugat kumpulan yang diberi nama Max ini.
Malah sehingga kini, masing-masing terus gah berdiri mencari haluan sendiri atas semangat jati diri yang tinggi.
mereka tidak lagi menoleh ke belakang malah terus melangkah dengan laju demi mencipta revolusi sendiri.
Pemain dram kumpulan ini, Man berkata, mungkin ramai yang mengenali wajah-wajah yang membarisi band terdahulu, namun mereka punya resepi baharu, bahan baharu dan memilih melakukan suatu perubahan yang baharu.
“Inilah Max yang kami ciptakan dengan identiti tersendiri, namun nuansa rock itu masih menebal dalam diri kami.
“Kami pasti peminat muzik rock kenal kami dan tahu siapa kami, lagi pun kami tidak mahu ‘populariti’ lama meresapi Max,” katanya.
Tidak pernah mendabik dada dengan ‘jenama’ terdahulu, Max yang dibarisi oleh AG selaku vokalis, Lantaroo (gitaris), Oney (gitaris), Deen (basis) dan Man (dram), Max berlapang dada apabila karya sulung mereka yang berjudul Anugerah mula menjadi buruan peminat muzik rock yang dahagakan album penuh yang boleh didapati dalam bentuk CD.
“Saya pasti ramai peminat di luar sana yang tidak menyangka bahawa saya akan bermain gitar untuk Max kerana saya lebih dikenali sebagai vokalis.
“Masalah kesihatan sebenarnya ‘membelenggu’, tidak salah rasanya jika saya berada di bahagian gitar dan ianya lebih memberi ‘fokus’ kepada AG selaku vokalis.
“Namun begitu ada juga beberapa lagu yang membabitkan saya untuk bertindak sebagai vokalis.
“Inilah istimewanya Max, kami tidak menyekat kebebasan anggota untuk berkarya tetapi biarlah ianya membabitkan ke semua bukan solo,” kata Oney pula.
‘Anugerah’ mengandungi 12 buah lagu masih lagi berpaksikan muzik rock namun acuan heavy dan balada masih lagi menjadi teras sebagai ‘hubungan’ peminat dan pemuzik.
Album yang diterbitkan oleh Rockstage Entertainment itu nyata menjadi igauan, bukan sahaja rempah ratus yang di adunkan tetapi semangat dan jiwa rock itu masih menebal dalam diri Max.
Pengarah Rockstage Entertainment Talib Othman berkata, ketika dia mula bertemu dengan Man demi merialisasikan impiannya untuk meriliskan album ini, berulangkali dia mendengarnya dan ternyata ianya adalah karya berbeza.
“Konsep album ini memang jauh beza dengan ‘jenama’ terdahulu.
“Album ini juga punya kekuatannya yang tersendiri, sukar untuk saya nyatakan.
“Peminat perlu dengar dan hayati setiap bait lirik yang dilontarkan selain sistem audio yang pada saya cukup rempah ratusnya,” katanya.
Max bakal merangka agenda promosi dengan memilih Mydin Mall Jengka, Pahang sebagai lokasi pertama pengenalan Max kepada peminat.
Menerusi Royale Fiesta Pahang yang telah berlangsung di Mydin Mall Jengka pada 28 dan 29 Julai lalu, ia turut menyaksikan siri ‘meet and greet’ bersama peminat dan persembahan eksklusif Max dan Inhuman.-Edisi 9