Thursday, June 4, 2026

50,000 kampit benih padi sah lulus esok – Mohamad

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 50,000 kampit benih padi sah (BPS) akan diluluskan esok dengan 31,000 kampit akan diagih kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Lebihan 19,000 kampit BPS lagi akan diagihkan kepada Perlis dan luar jelapang Kedah.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian turut melancarkan task force operasi BPS selama dua minggu sejak 7 November lalu bagi memastikan peruncit menjual harga yang ditetapkan.

“Berkaitan isu peruncit yang menjual benih padi melebih RM45 seperti mana yang ditetapkan, kerajaan telah mengambil tindakan dengan menarik semula lesen benih padi sah serta merta.

“Sebanyak 20 lesen peruncit telah ditarik balik pada 7 November lalu dan pada 16 November, sebanyak dua lagi lesen telah ditarik balik,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Dr. Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) mengenai langkah segera KPKM bagi menangani isu penjualan benih padi sah yang begitu menekan pesawah serta menjejaskan hasil pengeluaran padi dan kadar sara diri (SSR) beras negara.

Sementara itu, Mohamad berkata, kerajaan akan melaksanakan kajian terperinci bagi mengimbangi harga belian padi dan harga benih padi bagi memastikan situasi menang-menang kepada semua pihak yang terlibat.

“Ini kita akan bincang dengan Kementerian Ekonomi, Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup tentang penyelarasan harga yang sesuai bagi semua pihak dalam masa terdekat.

“Sebab semua pesawah kena menang, pemborong kena menang, peruncit kena menang, pengguna pun kena menang. Perbincangan ini perlu dibuat secara lebih tersusun, supaya semua pihak mendapat faedah,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan