28.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

JIM tahan 377 Pati di Putrajaya

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan seramai 377 pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu dijalankan di sekitar Jalan Putrajaya, Putrajaya, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi itu yang dijalankan secara bersepadu dengan Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula jam 5 pagi tadi membabitkan 150 pegawai daripada kedua-dua agensi terbabit.

Katanya, terdapat dua lokasi pemeriksaan dijalankan JPJ dan JIM di jalan utama untuk masuk ke Putrajaya dari arah Kajang dan Bangi dalam operasi terbabit.

“Dalam operasi ini, seramai 600 warga asing diperiksa dan hasil daripada itu seramai 377 warga asing berusia antara 25 hingga 55 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Daripada jumlah itu, 250 warga asing adalah wanita dan 127 warga asing adalah lelaki yang terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Myanmar, Indonesia, Pakistan, India dan Sri Lanka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ruslin berkata, tindakan penguatkuasaan itu diambil susulan aduan awam berhubung Pati disyaki menaiki kenderaan atau bas pekerja tanpa memiliki pas atau dokumen pengenalan diri sah.

Advertisements

“Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Berikutan itu, kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Imigresen Semenyih, Selangor untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan kepada semua majikan supaya tidak menggajikan Pati.

“Sekiranya masih berdegil menggunakan Pati sebagai pekerja, majikan akan dikenakan tindakan tegas iaitu ditangkap dan didakwa di mahkamah di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman dengan denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali bagi setiap Pati yang digajikan,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Kupang PD masih belum selamat dimakan, 81 penternak terjejas

KUPANG dari perairan Port Dickson, Negeri Sembilan masih belum selamat dimakan kerana masih menunjukkkan kandungan biotoksin yang tinggi. Jabatan Perikanan...

Lagi Artikel Berkaitan