30.9 C
Kuala Lumpur
Monday, May 13, 2024

2 lagi suspek ditahan kes penipuan pelaburan i-Serve

Mesti Baca

POLIS menahan dua lagi suspek berkaitan syarikat i-Serve Payment Gateway Sdn Bhd (i-Serve) yang disiasat mengenai pengubahan wang haram termasuk pengasas bersamanya, awal pagi tadi.

Perkembangan itu menjadikan 10 ditahan kerana mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan itu setakat ini termasuk suspek utama, 57 tahun yang bergelar Datuk.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, mengesahkan penahanan dua lagi suspek itu.

Katanya, suspek pertama, lelaki berusia 58 tahun ditahan di Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kira-kira jam 3.30 pagi tadi.

Menerusi tangkapan itu, katanya, polis turut merampas telefon bimbit serta pasport milik suspek.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mula berkenalan dan berkawan dengan pengasas bersama syarikat penerbangan MYAirline sejak 1995.

“Suspek mengakui dia bersama lelaki itu menubuhkan syarikat i-Serve pada 2019 dan turut mengakui berperanan sebagai pengarah di tiga anak syarikat di bawah syarikat berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Hasil siasatan lanjut, katanya, polis dengan dipandu arah suspek pertama, menahan seorang wanita berusia 57 tahun di sebuah kondominium di Sentul pada jam 4.15 pagi tadi.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek kedua adalah seorang pekerja swasta di syarikat insurans dan dia tidak mengaku pembabitannya dalam kes ini.

Advertisements

“Daripada tangkapan itu, kita turut merampas sebuah kereta jenis Mercedes, sebuah telefon bimbit dan satu pasport milik suspek,” katanya.

Ramli berkata, kedua-dua suspek akan di bawa ke Mahkamah Majistret Jalan Duta Kuala Lumpur pagi ini bagi permohonan reman.

Terdahulu, media melaporkan lapan suspek ditahan antara 18 Oktober hingga 26 Oktober lalu untuk siasatan kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat pelaburan i-Serve.

Pada 18 Oktober lalu, polis menahan suspek utama yang juga pengasas bersama dan pemegang saham MYAirline bersama isteri yang berusia 55 tahun dan anak lelakinya berusia 26 tahun di Shah Alam untuk siasatan.

Siasatan polis mendapati syarikat pelaburan i-Serve beroperasi tanpa mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM).

Polis dilaporkan menerima 67 laporan berkaitan pelaburan i-Serve membabitkan jumlah kerugian lebih RM81.6 juta.

Semua suspek ditahan bagi membantu siasatan kes yang dijalankan mengikut Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Buat masa ini, JSJK masih mengumpul maklumat berkaitan pelaburan haram dalam syarikat MYAirline. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Semua IPM akan dibudayakan dengan Hadis 40 Imam Nawawi

KESEMUA institusi pendidikan MARA (IPM) dicadang membudayakan Hadis 40 Imam Nawawi sebagai usaha melahirkan generasi ulul-albab muda Islam, cerdik...

Lagi Artikel Berkaitan