25.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, July 14, 2024

Wisma Putra usaha bawa keluar Dr Nurul Ain dari Gaza

Mesti Baca

WISMA Putra sedang menyelaras proses untuk membawa keluar dan membawa pulang seorang doktor rakyat Malaysia yang kini berada di Semenanjung Gaza di Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, tindakan membawa keluar Dr Nurul Ain Latiff itu sedang dilakukan dengan kerjasama Kedutaan Filipina di sana.

Beliau berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Amman sudah dapat menghubungi Dr Nurul Ain yang berasal dari Kota Bharu dan berkahwin dengan warga Palestin.

“Keadaan mereka berada di tempat selamat. Kita juga sedang berusaha melakukan proses evakuasi (membawa keluar) untuk Dr Nurul Ain.

“Sehingga kini, kita mendapat kerjasama kedutaan Filipina untuk mengeluarkan keluarga ini bersama lapan warga Indonesia yang berada di kawasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tuan Tan Hong Pin (PH-Bakri) pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau mengesahkan sehingga kini, lima rakyat Malaysia dalam laporan Wisma Putra berada di negara yang dilanda konflik itu termasuk seorang ibu dengan tiga anak yang memegang pasport Malaysia.

Semalam Wisma Putra mengesahkan lima rakyat Malaysia iaitu seorang wanita, selain seorang ibu bersama tiga anaknya yang berada di Tebing Barat ketika ini.

Advertisements

Kedutaan Besar Malaysia di Amman sentiasa berhubung dengan mereka.

Menjawab soalan asal Hong Pin, Zambry menasihatkan pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) supaya menangguhkan seketika hasrat untuk ke kawasan konflik itu bagi tujuan menyalur bantuan kemanusiaan.

“Sebaiknya hasrat membuat perjalanan memberi bantuan ini ditangguh buat seketika. Ia ekoran faktor keselamatan di kawasan konflik yang masih sukar ditentukan.

“Insya-Allah, jika benar-benar keadaan mengizinkan, pasti Kementerian Luar akan menyelaraskan segala bentuk bantuan dan perjalanan yang perlu,” katanya.

Mengambil kira situasi kritikal masa kini, katanya, Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa termasuk pertubuhan antarabangsa segera menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti bekalan asas dan perubatan.

“Rejim Israel tidak berhak untuk menyekat saluran bantuan kemanusiaan.

“Sebagai permulaan, rakyat Malaysia yang ingin menyalurkan bantuan adalah mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada rakyat Palestin dan sumbangan ini boleh disalurkan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

“Sebentar lagi, insya-Allah saya akan menyampaikan sumbangan awal RM1 juta dari rakyat Malaysia untuk bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dari dana AAKRP ini. Ia akan disampaikan kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Akta Antilompat Parti wajar dikaji semula – Mohamad Hasan

AKTA Antilompat Parti wajar dikaji semula bagi mengatasi kelompongan sedia ada sekali gus menghalang Ahli Parlimen atau Ahli Dewan...

Lagi Artikel Berkaitan