MALAYSIA akan menggerakkan usaha untuk membina sebuah sekolah, sebuah hospital serta sebuah masjid di bawah program pembangunan semula Gaza yang musnah akibat serangan tentera Israel.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu akan direalisasikan dengan mengembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporay dan seluruh rakyat.
“Pengumuman gencatan senjata di Gaza selepas pembantaian kejam yang meragut lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal, harus disambut dengan perancangan pemulihan Gaza.
“Justeru, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin,” kata Perdana Menteri hari ini.
Pada masa yang sama, Anwar berkata, Malaysia dan Jepun juga telah mencapai kesepakatan untuk menyegerakan usaha membina semula bumi Gaza.
Katanya, ini akan diusahakan menerusi inisiatif kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan menubuhkan dana khas bagi menyokong pembangunan semula wilayah yang terkesan.
“Moga kewujudan dana khas ini akan mencapai misi dan matlamat yang kita rancang.
“Titipkan doa dan harapan agar Allah SWT terus memberi perlindungan buat Gaza dan Palestin serta memberkati setiap usaha dan pengorbanan kita dalam memberikan harapan baharu buat mereka, Insya-Allah,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri berkata, beliau dan rakan sejawatannya dari Jepu, Shigeru Ishiba berbincang untuk mempercepatkan pelan pembinaan semula Palestin susulan gencatan senjata yang berkuat kuasa 19 Januari lalu.
Semasa lawatan Ishiba ke Kuala Lumpur baru lalu, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk merangka pelan pembangunan semula bumi Gaza yang teruk dimusnahkan oleh tentera Israel. – Edisi 9

