Thursday, June 4, 2026

Guna ‘chatbot’ tangani maklumat palsu langkah terbaik – Pensyarah

Mesti Baca

Fazrina K
Fazrina K
Mempunyai pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia kewartawanan bersama syarikat media terkemuka. Pengkhususan dalam penulisan rencana, laporan khas dan analisis isu-isu semasa.

PENGGUNAAN chatbot Artificial Intelligence Fact-check Assistant (AIFA),bagi menangani maklumat palsu menerusi Sebenarnya,my merupakan langkah terbaik dan ia perlu diperluaskan.

Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Media dan Komunikasi, Universiti Malaya, Dr Mumtaz Aini Alivi berkata, AIFA merupakan satu kemudahan digital yang boleh membantu masyarakat menyemak kesahihan berita secara lebih cekap.

Beliau berkata, walaupun portal Sebenarnya.my telah lama wujud, masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak menyedari keberadaannya atau tidak tahu cara menggunakannya untuk menyemak fakta sesuatu berita.

Chatbot ini lebih mudah digunakan dan boleh diakses selama 24 jam, membolehkan rakyat mendapatkan maklumat yang tepat hanya di hujung jari mereka.

“Dengan adanya AIFA, masyarakat tidak lagi perlu bimbang untuk mendapatkan sumber maklumat yang sahih dalam masa yang singkat,” katanya kepada Edisi 9 hari ini.

Beliau mengulas penggunaan chatbot oleh Kementerian Komunikasi bagi menjawab isu-isu berkaitan maklumat tidak benar yang disebarkan menerusi media sosial.

Chatbot.Sebenarnya.my itu dilancarkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di Cyberjaya, semalam.

Mumtaz berkata, terdapat keperluan mendesak untuk memperluaskan penggunaan AIFA agar lebih ramai pengguna menyedari kewujudannya dan mengetahui cara menggunakannya.

Katanya, usaha seperti penyiaran infografik mengenai cara penggunaan chatbot ini serta video Public Service Announcement (PSA) di media televisyen dan platform digital perlu diperbanyakkan.

“Kita mahu semua peringkat masyarakat, tanpa mengira umur dan latar belakang pendidikan, mempunyai literasi media yang tinggi.

“Justeru, penerangan mengenai AIFA ini perlu dibuat secara meluas dan mudah difahami agar matlamat asalnya, iaitu untuk mengekang penyebaran berita palsu, dapat direalisasikan dengan efektif,” katanya.

Beliau turut memuji usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang membangunkan AIFA lengkap dengan fungsi empat bahasa utama iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Mumtaz berkata, dengan ciri tersebut menjadikan AIFA lebih inklusif dan mesra pengguna serta membolehkan semua rakyat Malaysia menggunakannya tanpa halangan bahasa.

“Faktor bahasa sering menjadi isu dalam menyemak fakta berita, namun dengan AIFA, hal ini bukan lagi masalah. Rakyat boleh menggunakan bahasa yang mereka selesa untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat,” katanya. – Edisi 9

Terkini

Hektar HEIT cadang ambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East

HEKTAR REIT bercadang mengambil alih Sekolah Antarabangsa KYS KL East (KYSKLEIS) pada nilai RM125 juta bagi memperkukuhkan aliran pendapatan...

Lagi Artikel Berkaitan