MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menjadi antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terawal yang menyatakan komitmen bagi pembangunan semula Gaza sepertimana diseru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ini susulan keputusan pertubuhan itu yang menyatakan komitmen untuk membangunkan bandar wakaf di bumi Palestin itu dengan anggaran kos sebanyak RM120 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, Datuk Sani Araby berkata, pembangunan di kawasan tanah wakaf seluas 35.2 hektar itu telah dimeterai sejak Februari 2023 dan sehingga kini pihaknya telah mengumpulkan sebanyak RM40 juta.
“Projek ini melibatkan pembinaan 14 blok apartmen wakaf mewakili semua negeri dalam Malaysia, sebuah masjid kembar dengan Masjid Shah Alam dan sebuah sekolah Malaysia.
“(Turut dibangunkan) taman rekreasi, 56 unit premis perniagaan di bawah program Mikro-kredit Khardul Hasan, sebuah klinik kesihatan, serta menara tangki air, menjadikannya satu ekosistem pembangunan yang lengkap dan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Anwar berkata, Malaysia akan menggerakkan usaha untuk membina sebuah sekolah, sebuah hospital dan sebuah masjid di bawah program pembangunan semula Gaza yang musnah akibat serangan tentera Israel.
Menurut beliau, usaha itu akan direalisasikan dengan mengembleng sinergi dan kerjasama semua pihak termasuk syarikat berkaitan kerajaan, badan bukan kerajaan, swasta, perniagaan, korporat dan seluruh rakyat.
“Pengumuman gencatan senjata di Gaza selepas pembantaian kejam yang meragut lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta rakyat Palestin hilang tempat tinggal, harus disambut dengan perancangan pemulihan Gaza.
“Justeru, Malaysia akan menggerakkan usaha membina sebuah sekolah, hospital, dan masjid di Gaza bagi membantu meringankan penderitaan yang ditanggung penduduk Palestin,” kata Perdana Menteri.
Sani berkata, beberapa komponen utama bandar wakaf Malaysia di Gaza itu telah disumbangkan oleh pelbagai pihak antaranya, masjid kembar Shah Alam, apartmen wakaf Selangor dan menara tangki air yang diwakaf oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Beliau berkata, sekolah Malaysia pula diwakafkan oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM), Malaysia Central Kitchen dan Apartmen Wakaf Putrajaya (ditaja oleh JAKIM dan Yayasan Wakaf Malaysia serta apartmen wakaf oleg negeri-negeri lain yang disumbang oleh lima kerajaan negeri iaitu Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan, Melaka dan Pulau Pinang.
“Dukungan padu kerajaan Malaysia dan NGO bagi menzahirkan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza sebagai usaha nasional untuk membina semula Gaza.
“Projek ini turut mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, yang menitahkan dan lancarkan Tabung Pembangunan Ihsan Selangor-Gaza pada Mac 2024 sebagai sebahagian daripada usaha negeri dalam membangunkan Gaza.
“Selain itu, kerajaan negeri seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan pelbagai agensi kerajaan turut menyatakan komitmen mereka dalam menjayakan projek ini,”katanya.
Sani berkata, pembangunan bandar wakaf itu bukan sekadar inisiatif bantuan, tetapi model pembangunan wakaf pertama Malaysia di bumi Palestin yang boleh dijadikan contoh di peringkat global.
Katanya, ini adalah himpunan hati dan solidariti Malaysia merangkumi semua bangsa dan agama yang menjayakan untuk bina semula Gaza. – Edisi 9

