26.1 C
Kuala Lumpur
Friday, May 3, 2024

Usia tidak halang hasrat Badrul Muhayat mahu bersanding lagi

Mesti Baca

MESKIPUN usianya mencecah 55 tahun, pelakon Badrul Muhayat mahu mengadakan majlis persandingan pada resepsi yang sudah dirancang bersama isteri.

Namun begitu, Badrul yang menikahi usahawan, Norhayati Zulkapli, 50, pada April lalu, terpaksa menangguhkan hasrat itu disebabkan jadual dan komitmen mereka yang padat.

“Pada awal kami merancang menganjurkan majlis persandingan bulan lalu namun terpaksa ditangguhkan kerana jadual kami yang sibuk.

“Mungkin selepas pulang dari melancong ke lima negara, tidak lama lagi, baru kami rancang menganjurkan majlis resepsi dan persandingan.

“Apa keadaan sekalipun, saya masih mahu bersanding dan biarlah umur sudah masuk 55 tahun.

“Bagi saya, tidak jadi kesalahan selagi ada masa dan ruang,” katanya ditemui pada majlis tayangan filem Cerana Biduk Bu Merah, Jumaat lalu.

Badrul Muhayat menamatkan zaman duda dengan menikahi Norhayati Zulkapli. – FOTO: Media sosial

Berkongsi pertemuan dengan isteri, Badrul mengakui tidak mengambil masa lama untuk menyunting Norhayati.

“Selepas sebulan berkenalan, kami buat keputusan untuk berkahwin dan kami pilih tarikh lahir saya, iaitu pada 18 April lalu untuk diijabkabul.

Advertisements

“Saya tertarik dengan isteri kerana dia bijak. Dia adalah graduan Universiti Liverpool, England dan bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

“Malah, anak-anaknya juga berjaya. Ada yang bergelar doktor dan juruterbang. Saya anggap semua ini ketentuan Allah di mana ada orang berkawan, tiga empat tahun pun belum tentu bertemu jodoh,” katanya.

Selepas 13 tahun bergelar duda, Badrul mengakui kehadiran isteri melengkapkan hidupnya.

“Dahulu, saya tinggal sendirian. Setiap minggu adik datang untuk tengok sama ada saya okay atau tidak. Ibu juga hari-hari telefon bertanya khabar.

“Apabila ada isteri, kehidupan mula berubah. Makan minum lebih terjaga, baju ada orang gosokkan, malah berat badan juga semakin bertambah,” katanya.

Terdahulu, Badrul pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali namun perkahwinan itu tidak berpanjangan.

Menerusi perkahwinan itu Badrul dikurniakan dua cahaya mata berusia 16 dan 14 tahun. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Malaysia melangkah bergaya ke separuh akhir Piala Thomas

MALAYSIA melangkah ke separuh akhir Piala Thomas selepas membenam juara edisi 2014, Jepun 3-1 di peringkat suku akhir Pusat...

Lagi Artikel Berkaitan