27.4 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 30, 2024

Ubah suai KSAS: Kementerian bantah cadangan Kelantan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) membantah cadangan kerajaan Pas Kelantan untuk membuat pengubahsuaian kawasan sensitif alam sekitar (KSAS) di bawah pelan pembangunan negeri itu.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana tindakan kerajaan negeri itu akan memberi implikasi kepada pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi serta kemampanan alam sekitar Hutan Simpan Kekal (HSK) di Kelantan.

Beliau berkata, langkah itu juga menjejaskan dasar kerajaan dalam mencapai 50 peratus keluaran tanah berhutan di Semenanjung Malaysia selaras dengan polisi Rancangan Fizikal Negara (RFN).

“Pengekalan HSK sebagai KSAS akan memastikan kawasan tersebut tidak boleh dibangunkan secara sewenang-wenangnya pada masa hadapan.

“Selain itu, cadangan pengeluaran KSAS di Jajahan Gua Musang dikhuatiri akan menjejaskan status Taman Negara Kelantan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Nazmi berkata, selain itu berdasarkan laporan dalam media sosial, pengeluaran daripada jumlah KSAS sedia ada dari Jajahan Jeli dan Gua Musang adalah hampir 88 peratus.

NIK NAZMI NIK AHMAD

Keadaan ini, katanya, akan menjejaskan rangkaian ekologi Central Forest Spine dan keseimbangan ekosistem di Kelantan memandangkan kawasan tersebut merupakan KSAS Tahap 1 yang merangkumi kawasan perlindungan sedia ada.

“Populasi Harimau Malaya dan lain-lain spesies di Kelantan termasuk gajah, seladang dan tapir akan terjejas disebabkan oleh kehilangan habitat selain menjejaskan pergerakan haiwan-haiwan tersebut dari negeri-negeri bersebelahan iaitu dari Perak, Pahang dan Terengganu.

“Kehilangan habitat akan meningkatkan konflik manusia dan hidupan liar yang menyebabkan kerugian akibat kemusnahan hasil tanaman dan kerosakan harta benda serta kehilangan nyawa,” katanya.

Sebagai contoh, jelas beliau, bagi tempoh 1996 hingga 2023, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia telah menangkap sebanyak 24 ekor gajah konflik di kawasan Kuala Krai dan memindahkannya ke habitat yang lebih sesuai.

Advertisements

Nik Nazmi berkata, pengubahsuaian KSAS juga akan memberi impak secara tidak langsung kepada morfologi sungai.

“Aktiviti guna tanah akan memberi kesan kepada pergerakan sedimen ke dalam sistem sungai dan seterusnya menyumbang kepada kekeruhan sungai.

“Pergerakan sedimen akan menyebabkan sungai menjadi cetek seterusnya menyebabkan kejadian banjir. Hujan di kawasan tinggi yang telah dibuka akan menyebabkan gelinciran tanah yang membawa lumpur, batang kayu dan batuan ke kawasan kaki bukit dan menyebabkan kepala air,” katanya.

Lebih parah lagi, beliau menegaskan, penebangan hutan yang tidak terkawal hasil daripada pengubahsuaian KSAS bakal menyumbang kepada masalah banjir.

“Selama lebih dari satu dekad, Kelantan masih menghadapi isu banjir kilat dan fenomena itu dilihat semakin serius disebabkan oleh kemusnahan hutan akibat aktiviti manusia yang tidak terkawal.

“Hutan berperanan sebagai ‘span semulajadi’ dalam menyerap air hujan. Oleh itu, pokok memainkan peranan penting dalam menghalang aliran sedimen dan mengekalkan air, menjadikannya komponen penting dalam memelihara persekitaran yang stabil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, rancangan struktur yang disediakan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) hendaklah selaras dengan polisi di dalam RFN dan Rancangan Struktur Negeri Kelantan 2040 sedia ada yang telah diwartakan pada 31 Disember 2020 dengan mengambilkira dan menetapkan KSAS selaras dengan RFN.

“Sebarang proses Pengubahan Rancangan Struktur Negeri Kelantan melibatkan KSAS yang tidak menepati polisi RFN akan bercanggah dengan penetapan dasar Kerajaan Persekutuan yang ditetapkan dalam RFN,” katanya.

Kerajaan Negeri Kelantan semasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan kali ke 22/2020 pada 21 Oktober 2020 telah memutuskan supaya HSK kecuali kawasan punca air atau tadahan air, tidak lagi diklasifikasikan sebagai KSAS di Kelantan.

Pelaksanaan keputusan berkenaan bagaimanapun masih di peringkat draf Pengubahan Rancangan Pemajuan di Negeri Kelantan di mana Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Kelantan sedang melaksanakan Program Publisiti dan Penyertaan Awam bermula pada 11 Oktober 2023 hingga 11 November 2023. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah lulus permohonan bekas kakitangan Utusan Melayu

SELEPAS hampir lima tahun tiada sebarang berita mengembirakan buat bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad yang ditamatkan perkhidmatan selepas...

Lagi Artikel Berkaitan