30.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 18, 2024

Teater Bangsawan Dang Anum, angkat pemerkasaan wanita

Mesti Baca

ISU keganasan wanita bukanlah perkara baharu, sejak dahulu lagi perkara ini sering menjadi perbahasan utama di mana sahaja.

Justeru, Persatuan Seni & Budaya Redholah (The Redholah) melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bakal mementaskan Teater Bangsawan Dang Anum.

Bertempat di Auditorium Bahagian Sektor Teknologi Pendidikan KPM, Bukit Kiara, teater itu akan berlangsung pada Sabtu dan Ahad ini.

Kisah Dang Anum diangkat daripada filem Sultan Mahmud Mangkat Dijulang tahun (1961) atau Dang Anom (1962) di mana kisah Dang Anum yang menjadi mangsa kerakusan nafsu manusia.

Pengarah pementasan, Amirul Haswendy Ashari, berkata, pemilihan judul dan kisah Dang Anum adalah kerana nilai-nilai positif yang wujud dan wajar di ketengahkan kepada masyarakat.

“Mereka yang pernah menonton kisah Dang Anum di dua filem ini pasti tahu, kisah Dang Anum yang menyedihkan.

“Dari situ, kita sedar isu keganasan terhadap wanita bukan perkara baharu. Oleh itu, kesedaran demi kesedaran perlu diteruskan melalui semua medium yang ada.

“Wanita adalah tonggak keluarga dan masyarakat. Mereka adalah ibu, kakak, adik, saudara dan rakan kita.

“Pengorbanan mereka tidak terbatas di dalam keluarga sahaja, malah menjangkau semua sudut pembangunan sosio ekonomi,

masyarakat, agama dan budaya,” katanya.

Katanya, teater ini diharap menjadi rujukan generasi hari ini, terutama wanita yang menjadi mangsa keganasan untuk memperkasakan diri mereka di sebalik kisah malang Dang Anum dibunuh kerana menjadi mangsa fitnah dan nafsu amarah manusia durjana.

Advertisements

Dalam pada itu, Amirul turut menyatakan penghargaan kepada barisan pelakon tempatan seperti Ain Sufia, Azizul Ammar, Adam Shahz dan Along Eyzendy yang menyatakan kesudian untuk terbabit dalam pementasan ini.

“Sejujurnya, latihan teater ini dilakukan dalam jangka masa yang sangat singkat iaitu kurang dua minggu sahaja.

“Jadi pemilihan pelakon perlulah berdasarkan keupayaan dan pengalaman mereka yang luas dalam seni lakon teater.

“Pun begitu, sesi ujibakat turut diadakan secara atas talian dan bersemuka bagi memberi peluang bakat-bakat baru untuk mengasah bakat mereka di pentas teater bangsawan,” katanya.

Selain mereka, teater Bangsawan Dang Anum turut menampilkan pelakon teater berpengalaman seperti Md Hussin, Shareezwan, Azhar Jalil, Lizart Rashid, Myza Alid, Eyza Shariff, dan penampilan khas, Dekan Fakulti Muzik dan Seni Persembahan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Muhammad Fazli Taib.

Dalam pada itu, hasil jualan tiket Pementasan Teater Bangsawan Dang Anum berharga RM10 akan disumbangkan kepada pelajar-pelajar asnaf di sekolah terpilih.

“Kami mensasarkan jumlah kutipan tiket sebanyak RM5,000 dan keseluruhan hasil jualan akan disumbangkan kepada pelajar-pelajar asnaf.

“Selain itu, kami turut mengalu-alukan sumbangan dari syarikat-syarikat korporat dan badan swasta yang berminat untuk turut serta di dalam program CSR persatuan The Redholah.

“Sumbangan mereka akan disalurkan kepada beberapa program CSR yang dalam perancangan,” kata Amirul lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembelian tiket dan sumbangan, hubungi talian 014 368 5233 atau emel ke [email protected]. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

70,000 penduduk luar bandar nikmati elektrik biogas Felcra

KIRA-KIRA 70,000 penduduk luar bandar atau 14,000 rumah bakal menikmati bekalan elektrik yang stabil dan mencukupi menerusi janakuasa yang...

Lagi Artikel Berkaitan