33.6 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Sukan Asia: Skuasy butirkan dua kilauan emas

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KEM skuasy negara terus menjadi lubuk emas negara apabila menyumbang dua lagi pingat emas semalam, sekali gus menjadikan tiga secara keseluruhan yang dimenangani sepanjang Sukan Asia Hangzhou, China, semalam.

Dalam tiga aksi final semalam, Malaysia berpeluang meraih tiga emas selepas atlet negara mara ke pentas akhir dalam kategori perseorangan lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Namun, segalanya tampak kurang menjadi bagi pasangan, Mohammad Syafiq Mohd Kamal-Aifa Azman yang sekadar meraih perak selepas tewas kepada beregu campuran India, Dipika Pallikal-Harinder Pal Singh Sandhu.

Kekecewaan itu bagaimanapun berjaya ditebus pembawa Jalur Gemilang di Sukan Asia, S. Sivasangari apabila menewaskan pemain Hong Kong, Chan Sin Yuk 3-2 pada final penuh dramatik di Pusat Skuasy Olimpik Hangzhou.

Advertisements

Sivasangari mempamerkan semangat juang yang tinggi biarpun dua kali ketinggalan apabila tewas set pertama, 8-11 dan set ketiga 10-12 sebelum mengesahkan emas miliknya apabila menang set penentuan 12-10.

Dan prestasi cemerlang kem skuasy negara dilengkapkan dengan emas daripada acara perseorangan lelaki selepas Ng Eain Yow bangkit daripada ketinggalan set pertama sebelum mengatasi Saurav Ghosal dari India 9-11, 11-9, 11-5, 11-7 dalam pertarungan selama 72 minit.

Untuk rekod, pingat emas yang disumbangkan Eain Yow merupakan pingat ke-28 kontinjen negara sekali gus melepasi sasaran 27 pingat yang ditetapkan bagi Sukan Asia Hangzhou.

Kemenangan tersebut juga menamatkan kemarau 13 tahun untuk merangkul gelaran juara perseorangan lelaki selepas Ong Beng Hee pada 2002 dan 2006 serta Mohd Azlan Iskandar pada edisi 2010. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Giliran calon PH tayang keputusan UPSR, SPM

SELEPAS calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menayangkan sijil akademik pengajiannya, kini giliran calon Pakatan Harapan (PH) pula...

Lagi Artikel Berkaitan