28.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 2, 2024

RM157.8 juta diperuntuk baiki permukaan jalan di Sabah

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK RM157.8 juta telah diperuntukkan untuk negeri Sabah bagi kerja membaik pulih permukaan jalan di bawah skop kerja berkala pavemen dan berkala bukan pavemen bagi tahun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebahagian jalan-jalan persekutuan di Sabah yang dahulu mengalami kerosakan kritikal telah dapat dibaik pulih pada tahun ini kerana telah mendapat peruntukan yang lebih banyak berbanding tahun 2022.

“Untuk makluman, sebagai langkah pencegahan, Jalan Persekutuan sepanjang 1,289.14 kilometer (km) yang disenggara oleh Konsesi Penyenggaraan
Jalan Persekutuan Sabah iaitu Lintasan Resources Sdn Bhd. telah melaksanakan penyenggaraan rutin secara bulanan dengan anggaran kos RM4 juta sebulan oleh pihak konsesi yang dilantik untuk memastikan keadaan jalan tersebut selamat dan selesa.

“Dalam pada itu, kementerian turut berpandangan bahawa terdapat jalan raya yang perlu dibina semula memandangkan jalan-jalan ini sudah dibina lebih daripada 20 tahun.

“Ini bermakna jangka hayat jalan tersebut juga telah melebihi tempoh sepatutnya dari segi reka bentuk.

“Dalam usaha ke arah keselesaan jalan raya di Sabah, kementerian sedang berusaha menaik taraf jalan-jalan utama di Sabah melalui projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah sepanjang 210.294 km yang sedang dalam pembinaan,”katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab Pertanyaan Lisan Datuk Ir Shahelmy Yahya (Putatan) di Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Kelima Belas hari ini.

Advertisements

Sementara itu, Alexander berkata, bagi penyenggaraan lampu jalan pula, sebanyak RM3.07 juta daripada peruntukan khas di bawah kod P10 iaitu Baik Pulih Lampu Jalan dan Pemasangan Lampu Jalan di Jalan Gelap telah dimanfaatkan untuk membaik pulih lampu jalan sedia ada yang rosak di Jalan Persekutuan seluruh negeri Sabah.

“Selain itu, sebanyak RM700,000 daripada kelulusan peruntukan Fasa 2 di bawah kod B27 juga telah dimanfaatkan untuk membaik pulih lampu isyarat dan lampu jalan di Jalan Persekutuan Sabah.

“Agihan peruntukan ke daerah-daerah di Sabah adalah ditentukan oleh Jabtaan Kerja Raya (JKR) Sabah bergantung kepada senarai keutamaan yang disusun.

“Selain daripada penyenggaraan lampu jalan, kementerian ini juga harus menanggung bil elektrik sekurangnya RM1.1 juta di mana kos ini merupakan komitmen kewangan yang perlu ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan,”katanya.

Ujar beliau, pelaksanaan program penyenggaraan tahunan adalah tertakluk kepada kelulusan peruntukan oleh Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan senarai keutamaan yang disusun oleh JKR negeri Sabah.

“Kementerian sentiasa akan memastikan aset jalan raya persekutuan berada pada tahap yang berkualiti untuk kegunaan bersama bagi menjamin keselamatan orang awam,”katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Mahkamah Tinggi kekal sabitan, hukuman terhadap Siti Bainun

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali...

Lagi Artikel Berkaitan