JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa pulang bekalan selesa ke Johor Bahru apabila mencatat kemenangan selesa, 4-1 ke atas Perak FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, malam tadi.
Bertandang ke Stadium Perak di Ipoh, skuad bimbingan Esteban Solari tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Oscar Arribas menanduk masuk gol pertama seawal minit ketujuh.
Belum pun sempat Perak memperkemaskan barisan pertahanan, mereka bolos lagi dan kali ini menerusi kuisan cantik pemain kebangsaan, Arif Aiman Hanapi pada minit ke-12, satu jaringan yang terhasil dari sudut sukar.
Perlawanan sedikit tegang di penghujung babak pertama membabitkan kapten tuan rumah, Luciano Guaycochea dan pertahanan JDT, Matthew Davies yang menyaksikan pemain import Perak itu dilayangkan kad kuning.
Perak di bawah Yusri Che Lah menggandakan serangan di babak kedua namun gagal menyekat gol ketiga JDT yang dijaringkan bekas pemain Perak, Shahrul Saad pada minit ke-71.
Usaha Perak akhir berhasil lima minit kemudian apabila Guaycochea melepaskan satu rembatan kencang dari luar kawasan penalti terus ke penjuru kanan gawang Ahmad Syihan Hazmi Mohamed untuk menjadikan kedudukan 3-1.
JDT bagaimanapun kembali membuka jurang kepada tiga gol apabila pemain gantian, Nazmi Faiz Mansor berjaya melepasi perangkap ofsaid sebelum menolak bola melepasi kawalan penjaga gol, Muhd. Farhan Abdul Majid.
Perak akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 2 November ini bagi aksi separuh akhir kedua saingan Piala Malaysia. – Edisi 9