34.5 C
Kuala Lumpur
Monday, April 29, 2024

Percepatkan proses gubal Akta Pendanaan Politik – Ismail Sabri

Mesti Baca

Ahmad Shazwan Md Yusof
Ahmad Shazwan Md Yusof
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN digesa mempercepatkan proses menggubal Rang Undang-Undang Pendanaan Politik bagi menjamin ketelusan dan meningkatkan kepercayaan awam terhadap ahli politik. 

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana proses merangka undang-undang tersebut telah bermula ketika beliau menerajui Kerajaan sebelum ini. 

Menurut Ahli Parlimen Bera itu, akta tersebut amat penting bagi membolehkan parti politik mengumpul dana secara sah dengan setiap sumbangan diisytiharkan dan tidak dianggap sebagai satu kesalahan jenayah. 

“Isu dana politik ini penting. Sebagai contoh, di Amerika Syarikat untuk bertanding, mereka mengumpul dana bagi membantu parti mereka bertanding tetapi di Malaysia  agak sukar sebab kita tidak ada akta untuk mengumpul dana. 

“Agak membahayakan kepada parti politik pada sekarang ini. Parti politik tidak boleh berniaga, tidak boleh ada anak syarikat. Kalau tidak boleh berniaga mana parti hendak dapat duit. 

“Kalau UMNO, (kutip) RM1 seorang (ahli) untuk sekali seumur hidup. Dengan RM1 macam mana UMNO ada dana untuk membantu parti bergerak dan menempuh pilihan raya, jadi tentu perlu mendapat sumbangan daripada mana-mana pihak,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Persidangan Integriti dan Tatakelola Kebangsaan 2023 Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), semalam. 

Advertisements

Turut hadir, Pengerusi ADFIM, Izwan Zainuddin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Usahawan Nasional Berhad; Ketua Pegawai Eksekutif EXIM Bank, Arshad Mohamad Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Credit Corporation, George Taitim Tulas. 

Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan Kerajaan untuk memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta.

“Saya juga menyambut baik komitmen kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meneruskan Pelan Integriti Nasional dan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam sebagai panduan urus tadbir bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta. 

“Kalau boleh semua tadi (Akta Pendanaan Politik dan Akta Tatakelola Sektor Awam), kita minta (kerajaan) percepatkan, sekarang banyak benda tidak ada dalam akta,” katanya. 

Sementara itu, Ismail Sabri dalam ucapannya mencadangkan supaya sebuah badan pengawasan bebas ditubuhkan dan diberi kuasa untuk melaksanakan audit dan semakan berkala terhadap tingkah laku pegawai awam khususnya ahli politik, memastikan mereka mematuhi standard yang telah dipersetujui dan diterima umum. 

“Badan ini dianggotai oleh individu-individu yang mempunyai watak yang tidak tercalar dan kelayakan yang tidak dapat dipertikaikan.

“Mereka juga harus mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan pembetulan, termasuk mengesyorkan tindakan disiplin, dalam kes di mana standard ini dilanggar,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

PRK KKB: Giliran calon PH tayang keputusan UPSR, SPM

SELEPAS calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut menayangkan sijil akademik pengajiannya, kini giliran calon Pakatan Harapan (PH) pula...

Lagi Artikel Berkaitan