26.4 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 4, 2024

Pentas Marhaban angkat budaya seni suara dalam Islam

Mesti Baca

BAGI menguatkan lagi kedudukan sebagai agen penggerak dakwah di platform penyiaran, TV AlHijrah tampil dengan membawakan sebuah program realiti TV berjudul Pentas Marhaban.

Pentas Marhaban adalah rancangan hiburan realiti TV Islamik bertujuan mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan kekeluargaan di kaca televisyen.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Namanzee Harris berkata, TV AlHijrah sentiasa memposisikan kedudukannya sebagai agen penyebar dakwah yang memikul tugas fardu kifayah dalam mendidik masyarakat Malaysia khususnya.

“Selepas kejayaan rancangan realiti Hijrahkan Laguku pada tahun 2021 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 1.7 juta penonton dan rancangan realiti Akademi Qurra’ pada tahun 2022 dengan pencapaian keseluruhan (screen view) sebanyak 4.4 juta penonton,  TV AlHijrah perlu konsisten menghidangkan rancangan hiburan kekeluargaan mengikut syarak.

“Apatah lagi, baru-baru ini mengikut laporan data AC Nielson, TV AlHijrah terus memenangi hati penonton apabila berjaya melonjakkan jumlah tontonan peratusan perkongsian saluran (channel share) sehingga menduduki tangga lima teratas (top five) stesen tv terbaik di Malaysia sekaligus mengatasi saluran hiburan di negara ini.

“Kejayaan ini adalah penanda aras buat stesen tv kami untuk terus berjuang mengangkat martabat program-program yang bersifat spiritual dan Islamik ke mata dunia, Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan yang baik ini juga adalah petanda baik bahawa rancangan Pentas Marhaban yang akan diterbit dan disiar secara langsung ini bakal menjadi fenomena di dalam dunia penyiaran.

Dalam pada itu, Namanzee juga teruja kerana TV AlHijrah adalah satu-satunya stesen televisyen negara yang mengangkat aktiviti berzanji dan marhaban yang menjadi amalan tradisi masyarakat melayu dalam majlis-majlis perkahwinan, berkhatan dan cukur jambul ke kaca televisyen dan seluruh medium penyiaran sebagai program realiti.

“Pentas Marhaban diterbitkan bagi memenuhi metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Malaysia MADANI, Pelan Transformasi Al-Falah, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak.

Advertisements

“Ini secara jelasnya akan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang dari aspek spiritual dan fizikal.

“Pentas Marhaban akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, pada setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 11 November ini,” katanya lagi.

Beliau berkata, Pentas Marhaban akan mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani, dan dihoskan oleh Syamsul Ghau Ghau dan Juara Akademi Qurra’  musim pertama, Tilmiz Fahmi.

Ustaz Husaini Mahmur, qari negara yang juga qari bagi rancangan Quran@114 di TV AlHijrah akan bertindak sebagai penasihat Pentas Marhaban, serta diadili dua  juri tetap iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Hafiz Gambus. Tidak dilupakan juga sesi penjurian daripada juri jemputan mingguan.

Namanzee berkata, sebanyak 12 kumpulan marhaban bakal bersaing mengalunkan rangkaian puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian kehadrat Ilahi yang disampaikan dengan iramanya yang tersendiri dengan penumpuan kepada tiga elemen utama pada setiap persembahan iaitu Mawal, Marhaban dan Qasidah.

“Mereka dipilih disebabkan kefasihan, kelunakan serta kreativiti persembahan yang terbaik. Suka saya kongsikan, kesemua 12 kumpulan bukan berada di sini semata-mata untuk merebut gelaran juara.

“Namun apa yang utama, mereka semua akan menjadi ikon elemen hiburan Islamik yang menitikberatkan wasilah dakwah kontemporari yang berupaya menghubungkan penonton dengan Rabbul Jalil,” katanya.

12 kumpulan terbabit adalah Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul ‘Uzma, Shoutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee.

TV AlHijrah berkeyakinan bahawa Pentas Marhaban yang diterbitkan secara kreatif, bersifat malar segar, sesuai dengan selera dan penerimaan masyarakat mampu melahirkan masyarakat penonton yang berjiwa tauhid dalam kerangka dan batas syariat. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

UMNO sambut baik pengumuman PM naikkan gaji 15 peratus

UMNO menyambut baik dan menyokong penuh pengumuman Perdana Menteri untuk menaikkan gaji penjawat awam sebanyak 15 peratus mulai 1...

Lagi Artikel Berkaitan