26.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 16, 2024

Pelabuhan Klang bakal jadi hab pemindahan utama di Asia

Mesti Baca

KEMENTERIAN Pengangkutan dalam perancangan bagi membantu meningkatkan lagi peranan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan barang dan logistik utama di rantau Asia.

Menterinya, Anthony Loke berkata, itu adalah antara agenda utama beliau ketika pertemuan dengan empat syarikat perkapalan terkemuka dunia iaitu MSC, Maersk, CMA-CGM dan Hapag Lloyd dalam lawatan kerja seminggu di Eropah, baru-baru ini.

“Tujuan pertemuan ini adalah untuk menarik minat mereka supaya meningkatkan bukan sahaja pelaburan tetapi juga sudah tentu kehadiran mereka di Malaysia.

“Pertemuan ini membuahkan hasil menarik. Saya yakin dalam beberapa tahun akan datang mereka akan mempunyai kehadiran yang lebih besar di Malaysia khususnya di Pelabuhan Klang. Begitu juga di Pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

“Kita juga mempunyai rancangan untuk mempergiatkan lagi peranan Pelabuhan Klang sebagai hab pemindahan yang utama di Asia.

“Ini sudah tentu memerlukan kerjasama dari semua pihak, supaya kita dapat meningkatkan lagi daya saing Pelabuhan Klang,” katanya.

Loke berkata sepanjang tempoh enam dekad, Pelabuhan Klang berjaya meletakkan industri pengangkutan maritim Malaysia di peringkat global melalui pelbagai pencapaian.

Advertisements

Katanya, LPK berjaya memastikan pelabuhannya terus berdaya saing dengan memenuhi permintaan pasaran melalui tranformasi teknologi dan digital.

“Sebagai contoh, LPK sedang dalam proses membangunkan Sistem Komuniti Pelabuhan Digital yang akan meletakkan asas untuk pelabuhan berhubung.

“Sistem itu akan dihubungkan dengan sistem sedia ada dalam komuniti Pelabuhan Klang sekali gus membolehkan hubungan yang lebih komprehensif antara pemain industri dan agensi kerajaan untuk transaksi yang lebih cekap,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata pelabuhan di negara ini mencatatkan purata pertumbuhan perdagangan sebanyak tiga peratus dari segi pengendalian kargo.

Katanya, tahun lalu, Malaysia mengendalikan hampir 27 juta TEU dengan Pelabuhan Klang mengendalikan 50 peratus daripada jumlah itu.

“Malaysia berada di tangga kelima negara yang mempunyai rangkaian hubungan laluan perkapalan terbaik berdasarkan laporan terbaru Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD).

“Malaysia berada di kedudukan ke-26 di peringkat global dan kedua di ASEAN dalam Indeks Prestasi Logistik (LPI) Bank Dunia 2023,” katanya. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bukan bumiputera masuk UiTM: KPT masih pegang teguh Akta 173

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) masih berpegang teguh kepada Fasal 1A Akta 173 bahawa Universiti Teknologi Mara (UiTM) ditubuhkan menurut...

Lagi Artikel Berkaitan