KEMENTERIAN Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) komited untuk memastikan pelaksanaan projek-projek pelaburan dan perdagangan direalisasikan secepat mungkin.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia susulan penubuhan Jawatankuasa Tindakan Pelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) sepertimana dibentang dalam Belanjawan 2024 baru lalu.
Menurut beliau, antara fungsi utama JTPPP termasuklah membentangkan status terkini projek-projek pelaburan dan perdagangan yang telah diumumkan untuk pemantauan.
“Antara lain menyelesaikan isu serta cabaran yang dihadapi oleh pelabur dan pengeksport bagi mempercepatkan pelaksanaan komitmen pelaburan langsung asing dan domestik, serta perdagangan antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tengku Zafrul berkata, JTPP juga berperanan mengesyorkan cadangan mengenai langkah serta strategi yang bersesuaian dalam memudah cara perniagaan, mengurangkan karenah birokrasi dan melancarkan perjalanan pelabur bagi pelaksanaan projek-projek berimpak tinggi secara pantas dan tuntas.
Selain itu, jelas beliau, jawatankuasa tersebut juga berperanan menyelaras dan memperkukuhkan kerjasama dengan semua kementerian atau agensi di peringkat Persekutuan dan negeri dalam menyelaras perkara-perkara berkaitan pelaburan dan perdagangan di negara ini.
“JTPPP perlu memastikan kesemua projek pelaburan dan perdagangan strategik serta ikonik adalah selari dan bertepatan dengan dasar-dasar semasa yang berkaitan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Halatuju Peralihan Tenaga Baharu (NETR), dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12),” katanya.
Dalam mesyuarat pertama JTPPP yang dipengerusikan beliau semalam, Tengku Zafrul berkata, antara lain membincangkan kerja-kerja pelaksanaan bagi inisiatif yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Ini termasuk projek pembangunan Lembah Berteknologi Tinggi Automotif (AHTV) dan cadangan pembangunan Taman Perindustrian Bersepadu Kerian (KIIP) bersama Kerajaan Negeri Perak.
Beliau berkata, Pada masa yang juga JTPPP juga membincangkan status terkini pelaburan asing dan domestik yang masih dalam proses pelaksanaan.
“JTPPP bertanggungjawab untuk melaporkan status pelaksanaan projek pelaburan dan perdagangan terbabit kepada Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. – Edisi 9