KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa berwaspada dan mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi bagi menghadapi kemungkinan kemunculan penyakit X di negara ini.
Berikutan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, orang ramai tidak perlu berasa terlalu bimbang terhadap penyakit itu.
“Walaupun penyakit X tidak menjadi fokus dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ke-76 baru-baru ini, Malaysia tetap berwaspada terhadap kemungkinan kemunculan penyakit X.
“Kami juga berkeyakinan boleh menanganinya dengan berkesan berdasarkan pengalaman dengan wabak sebelum ini seperti Covid-19, virus Nipah, SARS, dan MERS-CoV,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Siri Panduan Diet Malaysia dan Inisiatif Healthy Eathing Responsibility For Women (HER) hari ini.
Selain itu, menurutnya, sistem kesihatan Malaysia juga sentiasa diperkukuh untuk menghadapi penyakit tersebut, manakala maklumat mengenai wabak penyakit akan sentiasa disampaikan secara terbuka.
Beliau berkata, orang ramai juga perlu mendapatkan maklumat dan membuat persediaan bagi menghadapi penyakit itu termasuk mengikuti garis panduan kesihatan, amalan kesihatan yang baik dan sentiasa mendapatkan maklumat terbaharu tentang perkembangan penyakit berkenaan.
Penyakit X merupakan nama yang dicipta Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2018 untuk sejenis patogen yang tidak diketahui, dengan potensi untuk menyebabkan wabak di seluruh dunia.
Walaupun sifat dan waktu penyakit X masih belum dikenal pasti, dilaporkan pakar kesihatan telah menyuarakan kebimbangan tentang impak penyakit berkenaan. – BERNAMA