SEBUAH kedai makanan laut di Johor Bahru yang tular akibat didakwa mengenakan bayaran mahal diberi notis oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor.
Pengarahnya, Lilis Saslinda Pornomo, berkata tindakan itu diambil mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna iaitu harga yang mengelirukan.
Beliau berkata, premis itu juga diberi notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 supaya mengemukakan maklumat untuk pengiraan pencatutan.
“Kelmarin, kedai makan ini ditutup, oleh itu pemantauan dilakukan semalam.
“Penguat kuasa sudah memantau harga dan operasi kedai makan berkenaan dan kami sudah mengambil tindakan sesuai. Bagaimanapun kes masih dalam siasatan,” katanya.
Semalam, media melaporkan Ekin Rahmat yang juga isteri kepada penyanyi dan penyampai radio, Mawi mengakui terkejut dengan harga yang dikenakan sebuah kedai makanan laut yang dikunjunginya di Johor Bahru bersama ahli keluarga pada 30 September lalu.
Mereka terdiri daripada 12 dewasa, selain enam kanak-kanak yang berusia antara dua tahun hingga warga emas berusia 80-an.
Ekin atau nama sebenarnya Nora’Asikin Rahmat berkata, dia hanya memesan dua ekor ikan yang bersaiz sederhana dan beberapa menu makanan laut namun terkejut selepas melihat resit harga yang dikenakan kedai terbabit.
Mereka juga didakwa tidak meletakkan tanda harga dan menyatakan hanya mengikut harga pasaran.
Petang semalam, pemilik kedai makan turut tampil membuat penjelasan mengenai perkara berkenaan.
Menerusi video yang dimuat naik di laman sosial itu, wanita berkenaan memperincikan setiap caj yang dikenakan terhadap Ekin dan menyatakan kira-kira 20 ahli keluarganya mengunjungi kedai makan itu.
Katanya, antara menu yang dipesan oleh Ekin dan keluarganya ialah pari bakar, siakap tiga rasa, siakap stim, udang butter, sotong goreng tepung, ketam telur masin, ketam cili dan siput gonggong.
“Saya pemilik gerai nombor 14, tujuan video ini bagi memberi pencerahan berkaitan video yang dimuat naik di media sosial. Sekiranya masih tidak jelas, bolehlah datang jumpa makcik,” katanya. -Edisi 9

