KERAJAAN Perpaduan akan menguatkuasakan Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [A1695] bermula esok seiring dengan dasar peluang kedua dan memperkasa pentadbiran kebankrapan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, penguatkuasaan Akta A1695 membuktikan keprihatinan kerajaan untuk memberikan peluang kedua kepada bankrap untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
Katanya, ia secara tidak langsung dapat kembali bersama-sama untuk menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.
“Penguatkuasaan Akta A1695 ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada golongan rakyat yang tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Jemaah Menteri pada 10 Mac lalu bersetuju dengan cadangan pindaan kepada Akta Insolvensi 1967 [Akta 360].
Ia merupakan hasil pelbagai sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan termasuklah Jabatan Peguam Negara, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPM), Kementerian Kewangan, Bank Negara, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan Persatuan Bank-Bank dalam Malaysia.
Pindaan utama adalah berhubung dengan penambahbaikan peruntukan pelepasan bankrap.
Seksyen 33C Akta 360 dipinda bagi membantu pelepasan bankrap secara automatik dalam tempoh masa tiga hingga lima tahun dari tarikh bankrap menyerahkan pernyataan hal ehwalnya.
Subseksyen 33(2A) Aka 360 berkenaan dengan kategori bankrap yang boleh dilepaskan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi tanpa melalui prosedur bantahan pemiutang turut dipinda untuk menambah dua kategori baharu.
Azalina berkata, Dasar Peluang Kedua menyasarkan pelepasan sehingga 130,000 orang bankrap, sehingga tempoh masa satu tahun selepas Akta A1695 berkuat kuasa.
“Jumlah tersebut merupakan separuh daripada jumlah kes yang sedang ditadbir Jabatan Insolvensi.
“Melalui pelaksanaan Akta A1695 juga, tadbir urus kebankrapan ditambah baik dengan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh bagi pengendalian mesyuarat pemiutang dan penyerahan notis dan dokumen pentadbiran kebankrapan secara komunikasi elektronik,” katanya. – Edisi 9

