INISIATIF penggunaan fasiliti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk kegunaan Sambutan Hari Sukan Sekolah secara percuma menerima sambutan menggalakkan daripada sekolah-sekolah.
KBS menerusi kenyataan berkata, sehingga hari ini sebanyak 24 permohonan telah diterima Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk tempahan sukan sekolah di Stadium Nasional.
Katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Bandaraya, Kuala Lumpur telah menjadi sekolah pertama yang menganjurkan sukan sekolah tahunan secara percuma di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 6 Oktober lalu.
“Pelaksanaan konsep merakyatkan sukan melalui penggunaan fasiliti sukan ini bertujuan memfokuskan olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah.
“Selain itu, murid-murid dapat merasai pengalaman berlari di Stadium Nasional Bukit Jalil yang boleh memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi seorang atlet,” katanya hari ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada 25 Julai lalu mengumumkan pemberian penggunaan secara percuma fasiliti KBS untuk kegunaan Sambutan Hari Sukan Sekolah, tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan fasiliti.
Antara fasiliti yang terlibat adalah penggunaan trek dan fasiliti di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City dibuka untuk penggunaan sekolah.
Ia juga termasuk penggunaan gelanggang bola jaring dan boling padang di Kompleks Sukan Bukit Kiara serta padang Stadium Hoki Tun Razak di Kompleks Sukan Jalan Duta.
Menurut KBS, penggunaan fasiliti PSM secara percuma ini masih terbuka buat semua sekolah sehingga tahun 2025. – Edisi 9