33 C
Kuala Lumpur
Sunday, May 19, 2024

400 bakal jemaah haji B40 tolak subsidi haji TH

Mesti Baca

SERAMAI 400 jemaah haji B40 yang layak menerima bantuan subsidi menunaikan haji tahun lalu, menolak tawaran itu atas faktor mahu memberi laluan kepada mereka yang lebih layak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata mereka mengambil inisiatif itu bagi memberi laluan kepada jemaah lain yang lebih memerlukan.

“Mereka menolak subsidi itu sebaliknya menyerahkan bahagian mereka kepada jemaah lain yang lebih layak.

“Saya ucapkan terima kasih kepada golongan ini kerana membuat keputusan tidak terima subsidi demi manfaat penerima lain.

“Ini sedikit sebanyak membantu Lembaga Tabung Haji (TH) menyalurkan bantuan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya selepas Program Santun Kasih Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak, Cheras, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, berhubung langkah kerajaan bersedia menyusun semula pemberian subsidi yang disifatkan sebagai tidak munasabah kerana turut dinikmati golongan kaya dan rakyat asing.

Anwar dilaporkan berkata, pelaksanaan rasionalisasi subsidi penting bagi memastikan kewangan negara dapat terus diuruskan secara berhemah tanpa menambah hutang baharu kepada negara.

Advertisements

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) sudah melaksanakan bantuan kewangan haji secara bersasar dengan mengecualikan jemaah T20 pada Musim Haji 1444H/2023M, Mei lalu.

Katanya, pelaksanaan bantuan haji bersasar itu berbeza daripada tahun terdahulu iaitu dipecahkan kepada tiga kelompok membabitkan B40, M40 dan T20.

“Ada kategori jemaah T20, mereka memang tak dapat subsidi dan perlu bayar penuh kos menunaikan haji.

“Ini memang sudah kita laksanakan pada musim haji tahun ini,” katanya.

Tahun ini, TH meneruskan bantuan kewangan bersasar walaupun kos ibadah haji meningkat sehingga RM30,850 bagi seorang jemaah dengan menyediakan lebih RM400 juta bagi menampung sebahagian daripada kos jemaah haji kumpulan B40 dan M40 yang kali pertama menunaikan ibadat itu.

Untuk tahun ini, jemaah B40 perlu membayar RM11,980 dan RM15,980 bagi kumpulan M40 manakala T20 berpendapatan lebih RM15,000 sebulan perlu menanggung kos haji sepenuhnya.

Bagaimanapun, kerajaan menanggung kenaikan kos haji sebanyak RM1,000 bagi kumpulan B40 yang menyaksikan mereka hanya perlu membayar RM10,980 iaitu kadar sama tahun lalu. -Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sejauh mana kebebasan universiti dimanfaatkan mahasiswa?

Oleh DR ABDUL MUQIT MUHAMAMMAD KEBEBASAN akademik merupakan roh yang menghidupkan masyarakat universiti. Tanpa kebebasan akademik, masyarakat universiti tidak akan...

Lagi Artikel Berkaitan