KETUA Pergerakan Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh bersedia mendedahkan kepada rakyat berhubung penipuan kartel beras yang berlaku selama ini.
Menerusi perkongsian di Facebook, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu turut meminta rakyat mencari perbezaan antara beras hancur dan beras Super Spesial Tempatan (SST).
Katanya, isu kartel beras tidak boleh dibiarkan dan rakyat mesti tahu mengenainya serta beliau bersedia melawan pihak yang terlibat demi mempertahankan hak rakyat.
“Yang mana satu beras hancur dan beras SST?
“Jawab dulu, nanti saya akan beritahu pendedahan isu kartel beras ni menipu rakyat. Kita lawan demi hak rakyat,” katanya hari ini.
Dr. Muhamad Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka baru-baru ini menegaskan beliau tidak akan berganjak walau seinci untuk mempertahankan hak rakyat dalam isu bekalan beras tempatan.
Ini susulan tindakannya memberi amaran dan mengugut pengilang beras untuk menyita kilang mereka jika enggan membungkus dan memasarkan beras ketika negara mengalami kekurangan beras putih tempatan.
Susulan itu, bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker baru-baru ini mengkritik langkah Dr. Mohamad Akmal dengan menyifatkan ia sebagai tindakan yang jelek dan tidak wajar. – Edisi 9

