PEMERIKSAAN keselamatan yang dilakukan di lapan daripada 41 empangan berisiko di negara ini mendapati Empangan Chereh di Pahang dan Empangan Kenyir, Terengganu rosak teruk dan perlu dipulihkan segera.
Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata, dapatan tersebut adalah hasil pembentangan laporan status keselamatan empangan berisiko oleh pasukan Flying Squad.
Katanya, hasil pemeriksaan menemukan pembentukan enapan yang tinggi di kolam takungan, kerosakan peralatan instrumentasi dan kawalan air, tirisan (seepage), kerosakan integriti struktur konkrit, hakisan tanah dan kesan runtuhan.
“Kerosakan ini boleh mendatangkan ancaman keselamatan kepada penduduk dan harta benda sekiranya berlaku kegagalan.
“Kos pembaikan dan penyenggaraan bagi lapan empangan tersebut dianggarkan sebanyak RM135.8 juta dan pemilik empangan perlu menyediakan peruntukan khas bagi penyelenggaraan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Pemeriksaan tersebut dilakukan di antara 2021 dan 2022 di Empangan Muda dan Ahning (Kedah), Empangan Jor dan Mahang (Perak), Empangan Sultan Abu Bakar (Pahang), Empangan Babagon (Sabah), Empangan Bakun (Sarawak) dan Empangan Kenyir (Terengganu).
Pemeriksaan empangan oleh Flying Squad mengguna pakai garis panduan pemeriksaan keselamatan empangan yang dibangunkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) iaitu Malaysia Dam Safety Management Guidelines (MyDAMS).
NRECC berkata, kementerian memberi perhatian yang serius akan risiko kegagalan struktur empangan seperti yang terjadi di Libya baru-baru ini.
Oleh itu katanya, sekiranya terdapat keperluan mendesak, kerajaan bersedia menimbang untuk menyediakan sokongan kewangan kepada pemilik empangan yang tidak mempunyai sumber kewangan. – Edisi 9