TEORI Penawaran dan Permintaan (the Supply and Demand Theory ) boleh digunakan oleh pengguna sebagai senjata untuk menurunkan harga barangan.
Kalau kita kurangkan keperluan atau permintaan, barangan akan berlambak di pasaran dan penjual atau pembekal terpaksa menurunkan harga bagi melakukan barangan mereka. Ini perlu dilakukan secara berjemaah , bukan bersendirian.
Mari kita kurangkan barangan keperluan makanan dan dapur, kemudian boleh diteruskan kepada keperluan lain seperti pakaian, barangan berjenama dan sebagainya.
Hiduplah secara minimalis dengan makan berat sehari sekali Sahaja (OMAD – One Meal A Day ). Jika lapar selepas makan berat , boleh makan buah-buahan atau minum kopi dengan gula yang sedikit.
Amalan mengambil buah korma adalah amalan yang dibuat oleh Rasulullah saw.
Amalkan hadits Rasulullah saw. iaitu, “Kita (kaum muslimin) adalah kaum yang hanya makan bila lapar dan berhenti makan sebelum kenyang”.
Walau bagaimanapun menurut Syeikh Abdul Aziz bin Baz rahimahullah, sanadnya dhaif tetapi maksudnya benar. Hal ini kerana, ada manfaat yang tersimpan di sebalik amalan makan apabila hanya terasa lapar dan berhenti sebelum kenyang.
Hal ini disokong lagi dengan sekian banyak nasihat berkenaan perbuatan menjauhkan diri daripada makan terlalu kenyang. Kenyang akan menjemput kemalasan dan boleh mengundang penyakit.
Kata Imam As-Syafie, kenyang membuatkan badan menjadi berat, hati menjadi keras, menghilangkan kecerdasan, membuat sering tidur dan lemah untuk beribadah.
Malah dalam tips diet moden yang banyak terdapat di internet, sering menasihatkan supaya makan hanya apabila lapar, tidak curi-curi makan snek dalam jarak waktu antara waktu makan utama supaya kita tidak makan secara tanpa sedar.
Manakala anjuran untuk berhenti sebelum kenyang juga dilihat bersesuaian dengan kenyataan oleh Zane Andrews, profesor madya dalam bidang Fisiologi dan Neurosaintis di Monash University.
Beliau menyebutkan bahawa kita mengambil masa kira-kira 20 minit untuk rasa kenyang apabila kita mula makan. Jadi berhenti sebelum perut anda berasa benar-benar penuh.
Kesimpulannya, makna dalam ayat yang dikatakan hadis pada awal tadi adalah diterima namun tidak boleh disandarkan kepada sunnah Rasulullah SAW kerana sanadnya dhaif. Wallahua’lam.
Sekiranya kita berjaya pada Langkah pertama ini, maka harga barangan keperluan dapur akan menurun kerana penawaran banyak tetapi permintaan sedikit akan membuat banyak barangan makanan tersadai di pasaran dan harga barangan makanan akan turun dengan sendirinya.
Dan sekali lagi, Kempen sebegini perlu dibuat secara berjemaah, bukan secara sendiri-sendiri.
Semoga kita dapat mengamalkan Langkah pertama dulu sebelum kita melangkah ke program seterusnya.
Penulis adalah mantan profesor madya di Universiti Sains Islam Malaysia dan aktif menulis.