SEPANYOL dan Itali menghidupkan peluang ke Kejohanan Eropah (Euro) 2024 apabila menang ke atas lawan masing-masing dalam aksi kelayakan, awal pagi tadi.
Dalam aksi di Stadium Los Cármenes, Granada, skuad bimbingan Luis de la Fuente berpesta gol apabila membelasah Cyprus 6-0 untuk kekal di tangga kedua Kumpulan A di belakang Scotland.
Sepanyol membuka tirai jaringan pada minit ke-16 menerusi rembatan pemain muda Barcelona, Gavi sebelum Mikel Merino menggandakan jaringan hasil tandukan pada minit ke-33.
Skuad La Roja menambah empat lagi jaringan pada babak kedua. Penyerang Real Madrid, Joselu menanduk masuh hantaran Dani Carvajal pada minit ke-70 untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Tiga minit berselang, Sepanyol memperoleh gol keempat menerusi Ferran Torres sebelum pemain gantian, Alex Baena meledak gol kelima pada minit ke-77 menerusi rembatan jarak dekat.
Torres melengkapkan kemenangan bergaya Sepanyol menerusi rembatan leret pada minit ke-83 selepas menerima hantaran cantik daripada pemain tengah Manchester City, Rodri.
Sementara itu, dalam aksi di San Siro, Milan, Itali kembali bernafas apabila mencatat kemenangan kedua dalam kempen kelayakan Euro 2024 selepas menewaskan Ukraine, 2-1.
Pemain tengah, Davide Frattessi muncul wira Azzurri apabila meledak dua gol pada babak pertama sementara Ukraine memperoleh gol tunggal juga di separuh masa pertama menerusi jaringan Andriy Yarmolenko pada minit ke-41.