KILOMETER Kosong (KM 0) Lebuh Raya Pan Borneo di Telok Melano, Sarawak menjadi persinggahan terakhir Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bagi menamatkan Kembara Kenali Borneo yang berlangsung selama 11 hari.
Terletak kira-kira 33 kilometer (km) dari pekan Sematan, jajaran Telok Melano-Sematan merupakan bahagian Lebuh Raya Pan Borneo yang pertama disiapkan dan mula dibuka kepada orang ramai sejak Januari 2019.
Jajaran yang terletak di bahagian barat daya Borneo, bersempadanan dengan wilayah Kalimantan Barat, Indonesia merupakan titik permulaan Lebuhraya Pan Borneo merentasi bahagian timur Tempat Lindungan Samunsan serta Taman Negara Tanjung Datu dan Gunung Gading yang menjadi tarikan utama pelancong.
Lokasi itu ialah satu daripada legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Adenan Satem untuk rakyat Tanjong Datu semasa beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak yang kelima pada 2014 hingga 2017 sebelum meninggal dunia akibat komplikasi jantung.
Rancangan asal adalah untuk membina lebuh raya dari Sematan ke Miri sahaja, tetapi atas permintaan Allahyarham pada ketika itu, Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak meluluskan pakej laluan Telok Melano membabitkan kos tambahan RM580 juta.
Pembukaan jajaran Telok Melano-Sematan ini secara tidak langsung telah mengubah kehidupan penduduk kampung di kawasan itu yang dahulunya perlu menaiki perahu menempuh ombak Laut China Selatan jika mahu keluar khususnya ke pekan terdekat iaitu Sematan.
Kini, dari pekan Sematan ke Telok Melano melalui jalan darat mengambil masa kira-kira 27 minit untuk sampai ke Kilometer 0 Telok Melano.
Tarikan utama di kawasan itu ialah pantainya yang berdekatan dengan dua kampung iaitu Kampung Telok Melano dan Kampung Telok Serabang.
Setiap kali menjelang hujung minggu atau cuti umum, kawasan pantai Telok Melano akan menjadi tempat tumpuan orang ramai untuk beriadah, sekali gus membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.
Jalan raya berkenaan menambah rezeki penduduk dengan pelbagai peluang ekonomi antaranya perusahaan inap desa serta perniagaan kecil-kecilan di tepi pantai.
Dahulu, rata-rata penduduk di kawasan itu hanyalah nelayan dan petani yang bergantung dengan hasil laut dan hasil tani yang diusahakan sendiri secara kecil-kecilan sebagai punca rezeki utama, namun kini semakin luas dengan adanya peluang untuk mengusahakan aktiviti-aktiviti pelancongan.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersama rombongan baginda berdua tiba di bandar raya Kuching pada Selasa dan bersemayam di ibu negeri Sarawak itu sebelum memulakan perjalanan sejauh 137 km untuk sampai ke Kilometer 0.
Baginda berdua memulakan kembara itu di Tawau, Sabah pada 3 Sept dan mengharungi perjalanan sejauh 2,154 km yang melibatkan persinggahan di beberapa tempat di Negeri di Bawah Bayu itu, serta Brunei dan Sarawak, sebelum berangkat tiba di Telok Melano hari ini.
Al-Sultan Abdullah akan menyempurnakan majlis pecah tanah Masjid Telok Melano selain melawat beberapa kawasan tarikan di situ sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur petang ini. – BERNAMA