PERIKATAN Nasional (PN) menamakan semula Naib Yang Dipertua Pas Bentong, Kasim Samat sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan tersebut dicapai dan disepakati oleh semua parti komponen.
“Parti menerima senarai tiga calon, kita bawa bincang dalam Majlis Syura dan terima bahawa ketiga-tiga calon dari segi syarie layak.
“Kami tengok siapa yang paling dekat dengan pengundi, calon dari Pelangai sendiri, anak jati yang tinggal di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pengumuman calon PN yang diadakan di Simpang Pelangai, Bentong malam tadi.
Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, Kasim, 62, tewas kepada Datuk Seri Johari Harun yang mewakili Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 4,048 undi.
PRK DUN Pelangai diadakan susulan kematian Johari yang terkoban dalam nahas pesawat ringan di kawasan Persiaran Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 7 Oktober ini sebagai tarikh mengundi bagi DUN Pelangai dengan hari mengundi awal ditetapkan pada 3 Oktober. – Edisi 9