PROTON Holdings Bhd (PROTON) hari ini mengumumkan panggilan semula model X90 susulan kecacatan pendawaian yang boleh membawa kepada “insiden haba” (thermal incident).
Pengeluar kereta nasional itu berkata, siasatan dalaman yang dibuat pada model kenderaan utiliti sukan (SUV) itu mengenal pasti masalah pada salah satu sambungan pembumiannya.
“Perkara ini boleh menyebabkan panas keterlaluan di sekitar penyambung apabila arus besar yang berterusan mengalir melaluinya dan boleh mengakibatkan insiden haba berdekatan dengan bahan kalis bunyi,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Proton berkata pemilik X90 akan dihubungi secara individu oleh pengedar mereka untuk mengatur temu janji bagi kerja-kerja pembaikan.
Syarikat itu juga menjelaskan bahawa bateri hibrid ringan di dalam kenderaan itu bukan sebahagian daripada masalah.
Proton X90 adalah model terkini yang dilancarkan pada Mei lalu.
Sebelum ini, tular video Proton X90 terbakar yang dikongsi secara dalam talian, yang mana mencetuskan spekulasi bahawa ia disebabkan oleh bateri hibrid 48V kenderaan itu.
PROTON terdahulu menjelaskan Proton X90 yang terbakar seperti dipaparkan dalam video yang tular itu bukan disebabkan letupan bateri hibrid ringan (48v) model berkenaan.
Dalam satu kenyataan di media sosial rasminya, PROTON berkata, pengeluar kereta nasional itu mengambil maklum berhubung insiden terbabit dan kereta berkenaan sudah berada dalam simpanan syarikat itu.
“Pasukan kami sedang menjalankan siasatan yang teliti dan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan punca kejadian.
“Kami juga ingin menjelaskan bahawa tiada letupan yang disebabkan oleh bateri hibrid ringan Proton X90,” katanya. -Edisi 9