26.1 C
Kuala Lumpur
Monday, May 13, 2024

KKR terima 1,000 aduan menerusi MYJalan

Mesti Baca

KEMENTERIAN Kerja Raya (KKR) menerima sebanyak 1,000 aduan menerusi aplikasi MYJalan sejak ia dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 24 Ogos lalu.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, aplikasi aduan berkaitan kerosakan jalan raya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, namun sebahagian besar aduan bukan membabitkan jalan milik atau di bawah penyelenggaraan KKR.

“KKR tetap membantu menyalurkan aduan berkenaan ke pemilik jalan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), negeri dan jalan kampung (Jalan Perhubungan Desa yang dibina di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Klinik Kesihatan Padang Besar di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Bahagian Kanan, Bahagian Pembangunan, Kementerian Kesihatan (KKM), Zairi Mat Ali, Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya-Sektor Bangunan, Jabatan Kerja Raya (JKR), Badioezaman Ab Khalik dan Pengarah JKR Perlis, Mohd Shahril Mohd Said.

Abdul Rahman berkata, tidak dinafikan ramai yang menuding jari kepada JKR apabila berlaku kerosakan jalan raya seperti kontraktor menebuk jalan bagi membaiki kerosakan paip, sedangkan ia berlaku bukan di jalan milik atau di bawah selenggaraan JKR.

Advertisements

“Saya minta pihak terbabit segera membaiki jalan berkenaan agar tidak menyusahkan atau membahayakan pengguna jalan raya,” katanya.

KKR sebelum ini melancarkan kempen MYJalan yang merangkumi sistem aduan bagi menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat mengenai kerosakan jalan raya.

Sementara itu, Abdul Rahman berkata, Klinik Kesihatan Padang Besar yang bernilai RM24.3 juta akan memulakan operasi pada 25 September ini.

Menurutnya, klinik yang dibina di atas tanah berkeluasan 0.18 hektar itu mampu menampung sekitar 300 hingga 400 pesakit pada satu masa.

“Projek ini diwujudkan di bawah Rancangan Malaysia ke-11 untuk memenuhi keperluan kesihatan penduduk sekitar dan menampung pertumbuhan populasi yang tinggi sejajar dengan pembangunan sosioekonomi di sekitar kawasan ini,” katanya. – Bernama

Advertisements

Terkini

SU Politik PM kecewa Malindo Air tutup pintu lebih awal

SETIAUSAHA Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin kecewa apabila pesawat Malindo Air yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan