29.2 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Kes Ahmad Zahid: Bersih gesa pihak pendakwaan semak bukti DNAA

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

JAWATANKUASA Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa pihak pendakwaan bagi kes rasuah melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membabitkan Yayasan Akalbudi menyemak semula bukti Pelepasan Tanpa Pembebasan (DNAA) dan kesemua 47 pertuduhan dan seterusnya membuat pertuduhan semula jika perlu.

Bersih berkata, keputusan pelepasan Presiden UMNO itu tidak boleh diterima susulan pihak pendakwaan telah berjaya mewujudkan kes prima facie.

“Pihak pendakwaan perlu tampil memberi penjelasan kepada orang ramai mengapa membuat permintaan untuk DNAA pada peringkat ini apabila prima facie telah kukuh.

“Jabatan Peguam Negara (AGC) juga mesti mendedahkan kemungkinan pertuduhan baharu atau arah penyiasatan baharu. Jika tiada rancangan untuk pertuduhan baharu, maka ini mungkin memberi laluan kepada Ahmad Zahid memohon perlepasan dalam tempoh beberapa bulan,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Bersih turut memberi gambaran kes sama melibatkan bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan Unit Perisikan Luar di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Allahyarham Datuk Hasanah Abdul Hamid yang mana Mahkamah Tinggi membenarkan pembebasan dan perlepasan penuh terhadap pertuduhan pecah amanah RM50 juta, setahun selepas DNAA beliau.

“Memandangkan iltizam anti rasuah dan reformis Kerajaan MADANI kini diragui berikutan keputusan ini, Bersih menggesa Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim untuk mengumumkan dalam masa seminggu pelan hala tuju dan garis masa yang jelas untuk pemisahan Pendakwaan Awam (PP) daripada AGC.

“Mengikut kedudukan sekarang, Peguam Negara ialah seorang lantikan politik yang menasihati kerajaan, memainkan dua peranan Pendakwa Raya (yang) memegang kuasa untuk memulakan atau menggugurkan tuduhan jenayah.

“Kuasa ini boleh disalah guna atau diperalatkan atas sebab politik. Pemisahan pendakwa raya dan peguam negara telah dianjurkan oleh Bersih dan kumpulan masyarakat sivil sekian lama,”menurut kenyataan itu.

Advertisements

Sementara itu Bersih turut mempersoalkan sama ada tindakan berkenaan sebagai ‘pendahuluan’ kepada pengguguran semua baki pertuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di masa akan datang.

Oleh demikian, Bersih memberi amaran kepada Anwar bahawa sebarang penangguhan dalam reformasi institusi AGC boleh merosakkan kredibiliti Kerajaan MADANI.

“Sehingga pemisahan ini dilakukan, AGC mesti mengelak daripada menarik balik pertuduhan dalam kes politik berprofil tinggi.

“Jika kes-kes itu lemah, biarlah hakim memutuskan perkara berkenaan, bukan pendakwa raya yang akhirnya di bawah kawalan Perdana Menteri.

“Rakyat Malaysia sudah muak melihat korelasi ini (iaitu) mereka yang kekal berkuasa selama-lamanya kekal tidak bersalah, manakala mereka yang kehilangan kuasa juga hilang rasa tidak bersalah.

“Permintaan untuk DNAA oleh Timbalan Pendakwaan Awam pada peringkat perbicaraan Ahmad Zahid mengukuhkan keperluan mendesak untuk memisahkan PP dan AG,” tegasnya.

Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Isnin melepaskan tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Pelajar UPSI adakan program bakti bersama gelandangan

SEKUMPULAN pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program khidmat bakti bersama golongan gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala...

Lagi Artikel Berkaitan