27.5 C
Kuala Lumpur
Sunday, April 28, 2024

Kes Ahmad Zahid: Satu malapetaka buat Malaysia

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENARIKAN 47 pertuduhan kes rasuah dan pecah amanah Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi satu malapetaka buat Malaysia.

Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, beliau mengecam sekeras-kerasnya keputusan Peguam Negara yang telah memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya 47 pertuduhan kes rasuah dan pecah amanah oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ditarik semula pada hari ini.

Katanya, keputusan ini amat mengejutkan apatah lagi apabila pihak pendakwaan di bawah kendalian ketua pendakwaan sebelum ini, Datuk Raja Rozela Raja Toran telah berjaya membuktikan kes prima facie ke atas Ahmad Zahid.

“Mahkamah juga telah mengarahkan beliau membela diri dalam kesemua 47 pertuduhan ini.

“Keputusan pihak pendakwaan pada hari ini menimbulkan persoalan dan tanda tanya mengapa kes ini ditarik semula setelah pihak pendakwaan sebelum ini telah membuktikan kes prima facie terhadap Ahmad Zahid.

“Persoalan juga timbul mengapa Ahmad Zahid tidak dibiarkan untuk terus membela diri tetapi satu tindakan mengejut untuk menarik semula kes ini dibuat tatkala kes ini semakin hampir menemui penyelesaian di akhir perbicaraan.

“Sekiranya Ahmad Zahid mempunyai pembelaan yang baik, kenapa tarik semula kes pada peringkat ini? Inilah masanya untuk Ahmad Zahid membuktikan pada masyarakat dan rakyat beliau sebenarnya tidak bersalah sama sekali,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Advertisements

Menurut beliau, keputusan ini telah mewujudkan satu ‘bad precedent’ dan Kerajaan MADANI pada hari ini perlu mengambil tanggungjawab di atas malapetaka ini.

“Ia jelas satu kegilaan dan kecelakaan kepada sistem keadilan di negara kita.

“Di mana suara-suara lantang seperti Majlis Peguam yang selama ini kerap memberi pandangan keras terhadap kerajaan-kerajaan sebelum ini?

“Di mana suara-suara NGO seperti BERSIH, parti politik dalam Pakatan Harapan khususnya DAP yang sebelum ini begitu lantang mahu ‘menghantar’ Ahmad Zahid ke penjara.

“Malang sekali Ahmad Zahid bukan ke penjara tetapi ke Putrajaya dan lebih malang lagi dilepaskan daripada 47 pertuduhan semasa era pentadbiran Kerajaan MADANI.

“Sudah tentu orang yang paling gembira di atas keputusan hari ini ialah tidak lain dan tidak bukan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri.

“Dengan pelepasan daripada 47 pertuduhan ini, sudah tentu kerajaan PMX akan bertambah stabil dan satu jaminan yang sudah tentu akan dizahirkan oleh Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional itu,”ujarnya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Selangor ingatkan jemaah haji kekalkan disiplin diri

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan bakal-bakal haji dari negeri itu agar mengekalkan disiplin diri semasa berada di...

Lagi Artikel Berkaitan